BAGHDAD: Rejim Presiden Bashar al-Assad tidak akan tumbang dan setiap cubaan menggulingnya melalui kekerasan akan meningkatkan krisis di rantau itu, kata Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, semalam.
“Sudah setahun tetapi rejim itu tidak tumbang, dan ia tidak akan tumbang.
“Mengapa pula ia perlu tumbang?” katanya di sidang media mengenai situasi semasa di Syria.
Menurut Nuri, Iraq menolak sebarang usaha menyalurkan senjata kepada pemberontak dan sebarang proses menggulingkan kerajaan kerana ia hanya akan menyebabkan krisis lebih besar di rantau itu.
Kenyataan Nuri itu dianggap paling keras pernah dikeluarkan Iraq mengenai krisis Syria.
Ia juga satu bantahan terhadap pendirian beberapa negara - termasuk Qatar dan Arab Saudi - untuk menyediakan senjata kepada penentang Bashar.
Kedua-dua negara itu hanya menghantar delegasi peringkat rendah bagi menyertai Sidang Kemuncak Negara Arab di Baghdad pada Khamis lalu.
Qatar berkata, tindakan itu dianggap satu “mesej” untuk Iraq. - AFP
No comments:
Post a Comment