Berita Harian Online | Pelan tamat krisis politik Syria:
BAGHDAD: Pemimpin Arab akan menawarkan pelan baru menangani kebuntuan politik Syria tetapi tidak akan mendesak peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad, kata diplomat Iraq.
Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari, berkata pembangkang Syria perlu bersetuju mengenai strategi tunggal untuk menamatkan krisis di negara itu. Isu itu akan menjadi agenda utama persidangan Liga Arab selama tiga hari yang bermula semalam di Baghdad.
Ia akan berakhir esok (Khamis) dengan kehadiran pemerintah dan ketua kerajaan negara anggota. Dua puluh dua negara membentuk Liga Arab tetapi Syria tidak dijemput ke sidang tahunan itu, yang diadakan di Iraq tahun ini buat kali pertama dalam satu generasi.“Krisis semakin memuncak di Syria. Pembunuhan setiap hari, pertumpahan darah, penyelesaian politik menemui jalan buntu. Apa perlu dilakukan? Ia adalah tanggungjawab semua yang hadir di persidangan ini,” kata Zebari kepada wartawan di Baghdad kelmarin.
Beliau berkata, pemimpin berkemungkinan bersetuju dengan penyelesaian yang boleh dilakukan untuk menamatkan keganasan tetapi terpulang kepada rakyat Syria menentukan masa depan mereka.
“Ia bukan hak negara lain untuk berkata kepada rakyat Syria pemimpin bagaimana yang mereka perlukan atau tidak. Saya tidak rasa akan ada desakan supaya Assad meletak jawatan,” katanya.
Pelan baru itu serupa dengan yang dicadangkan Liga Arab sebelum ini supaya Assad menyerahkan kuasa secara aman kepada naibnya sehingga pilihan raya baru dan terbuka boleh diadakan, kata Zebari. Liga itu juga menggesa gencatan senjata segera daripada kedua-dua pihak dan bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki zon perang.
Syria menolak kritikan Liga Arab mengenai tindakan ganas tenteranya menamatkan pemberontakan, berkata siapa yang menentang Assad sebenarnya menyebelahi Barat.
Zebari juga memberi peringatan kepada kumpulan pembangkang Syria untuk bersama-sama menjayakan pelan itu demi keamanan. Beliau berkata pemimpin pembangkang dialu-alukan untuk datang ke Baghdad selepas persidangan itu berakhir untuk membincangkan cadangan itu. Iraq akan mempengerusikan liga itu selama setahun selepas persidangan itu ditutup.
“Kami cuba mencari penyelesaian bagaimana untuk membantu rakyat Syria. Dengan rasa hormat kepada pembangkang Syria, mereka perlu bersatu,” katanya. – AP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment