KUALA LUMPUR -  Pakistan berjanji memberi sokongan penuh di segi moral, diplomatik dan politik kepada rakyat Kashmir dalam menghasilkan
hasrat menentukan nasib masa depan mereka.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid, menyuarakan sokongan itu dalam ucapan di seminar Hari Perpaduan Kashmir di sini, kata Ataci Penerangan Suruhanjaya Tinggi Pakistan, Hamid Raza Khan, dalam satu kenyataan hari ini.
“Kedudukan kami ini berdasarkan sokongan terhadap perjuangan adil dan prinsip yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa seperti termaktub dalam Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Masood.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dalam ucapannya itu menyebut betapa pentingnya Hari Perpaduan Kashmir dan usaha negaranya dalam mencari penyelesaian terhadap isu Kashmir yang sudah sekian lama dinanti-nantikan.
Kenyataan itu menyebut para penceramah dalam seminar itu menyeru supaya usaha bersungguh-sungguh dilakukan menyedarkan dunia terhadap perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Kashmir yang mahukan pemerintahan sendiri.
Seminar diadakan atas naungan Misi Keamanan Global (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia sempena hari tersebut yang disambut di seluruh dunia pada 5 Februari setiap tahun.
Penceramah di seminar itu menggesa masyarakat antarabangsa mencari jalan menyelesaikan isu Kashmir supaya keamanan dan kestabilan dapat diwujudkan di rantau itu.
Mereka berkata rakyat Kashmir sudah lama menderita dalam usaha mendapatkan kebebasan menerusi saluran diplomatik dan dialog, namun mereka masih lagi dinafikan hak memperoleh penyelesaian yang adil dan kekal.
Antara penceramah lain ialah Setiausaha Agung ABIM, Mohammad Raimi Abdul Rahim, ahli akademik Prof Dr. Ruhanas Harun, Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Azlan Mohd Shariff dan Rafiq Fazal Din yang mewakili Pusat Penyelidikan Dasar Malaysia. - Bernama