Pages

Tuesday, February 7, 2012

Filipina dilanda gempa bumi



PENDUDUK memeriksa kerosakan harta benda yang rosak akibat gempa bumi yang melanda Negros Oriental, tengah Filipina, semalam. - REUTERS


MANILA 6 Feb. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan pulau Negros, Filipina hari ini menyebabkan 43 orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak dan 40 lagi hilang.

Gempa yang turut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan itu mengakibatkan bangunan rosak dan mencetuskan insiden tanah runtuh yang menimbus berpuluh-puluh rumah.

Datuk Bandar Guihulngan di wilayah Negros Oriental, Ernesto Reyes berkata, sebanyak 30 rumah tertimbus akibat tanah runtuh dan menyatakan mangsa yang terbunuh termasuk dua pelajar sekolah rendah dan seorang penuntut kolej.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa pada kedalaman 19.8 kilometer itu disusuli dengan dua lagi gempa susulan masing-masing berukuran 4.8 dan 5.6 skala Richter.

Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina berkata, amaran ombak besar kepada penduduk di sepanjang kawasan pantai telah dikeluarkan ketika amaran tsunami ditingkatkan ke tahap dua.

Bagaimanapun belum ada amaran pemindahan dikeluarkan.

Menurut Institut itu, pusat gempa terletak hanya lima kilometer dari pantai Tayasan, Negros Oriental dan dapat dirasakan pada kekuatan tujuh di bandar Dumaguete dan kekuatan enam di Bandar Bacolod.

Namun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS berkata, berdasarkan data yang mereka miliki, tsunami dijangka tidak akan berlaku.

"Kerosakan mungkin berlaku di kawasan yang menerima gegaran sekurang-kurangnya pada kekuatan lima dan jika struktur bangunan lemah," kata ketua Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina, Renato Solidum dalam wawancara radio. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: