Pages

Monday, February 13, 2012

Akhbar The Sun hadapi krisis

LONDON 12 Feb. - Akhbar tabloid Britain yang mencatat jualan tertinggi, The Sun menghadapi krisis, semalam selepas polis menahan lima wartawan akhbar tersebut atas tuduhan rasuah.
Pemilik The Sun, Rupert Murdoch, bagaimanapun berjanji untuk tetap menerbitkan akhbar tabloid tersebut.
Menurut polis, seorang pegawai Kementerian Pertahanan, seorang anggota tentera dan seorang anggota polis turut ditahan berhubung tuduhan dibayar oleh wartawan untuk mendapatkan maklumat.
Penerbit News International berkata, Murdoch telah memberikan 'jaminan peribadi' bahawaThe Sun tidak akan menerima nasib yang sama seperti News of The World yang ditutup pada Julai lalu ekoran skandal penggodaman telefon.
Taikun media itu akan ke London untuk berjumpa dengan wartawan, menurut satu sumber yang tahu mengenai perkara itu kepada AFP tanpa memaklumkan tarikhnya.
Wartawan The Sun yang ditahan itu termasuklah timbalan editor, Geoff Webster, editor foto, John Edwards, ketua wartawan John Kay, ketua koresponden asing, Nick Parker dan wartawan John Sturgis, lapor News International.
Dalam e-mel kepada kakitangan, Ketua Eksekutif News International, Tom Mockridge berkata, syarikat sedang berdepan dengan 'cabaran besar'.
"Kamu patut tahu yang saya telah mendapat jaminan peribadi daripada Murdoch mengenai komitmen beliau untuk terus memiliki dan menerbitkan akhbar tabloid The Sun," katanya.
Menurut Mockridge, beliau turut menulis surat kepada pemerhati polis Britain untuk 'mendapatkan pengesahan' mengenai kebebasan siasatan polis.
Scotland Yard berkata, mereka kini memperluaskan siasatan rasuah melangkaui pembayaran kepada polis sahaja di mana mereka turut menyiasat pembayaran kepada pegawai awam.
"Kelima-lima wartawan itu ditahan di kediaman mereka di London dan kawasan sekitar kerana disyaki mengamalkan rasuah dan bersubahat melakukan salah laku di pejabat awam," lapor polis.
Seorang pegawai Kementerian Pertahanan, seorang anggota tentera dan seorang polis, pula ditahan kerana disyaki menerima rasuah, melakukan salah laku di pejabat awam dan berkonspirasi.
Kelapan-lapan mereka yang ditahan itu, bagaimanapun telah dibebaskan dengan ikat jamin. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: