KUALA LUMPUR 8 Jan. - Sebuah kampung berusia lebih 20 tahun yang menempatkan 53 buah rumah setinggan hangus dalam kebakaran di Hulu Kelang, petang tadi.
Kampung Sri Inai yang terletak bersebelahan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR 2) itu terbakar kira-kira pukul 4 petang, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, berikutan kebakaran itu, 32 keluarga yang mendiami kampung tersebut hilang tempat tinggal.
Beliau berkata, siasatan kebakaran berpunca daripada lintar pintas berkemungkinan dari salah sebuah rumah di situ.
Katanya, perkampungan itu kebanyakannya didiami orang Melayu serta warga asing Indonesia, hangus dalam tempoh kurang 15 minit sahaja meskipun Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran dari terus merebak ke kawasan perumahan lain.
"Bomba mendapat maklumat pada pukul 4.14 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit sebelum berjaya mengawal api yang marak 15 minit selepas itu.
"Kawasan terbabit kebanyakannya adalah rumah kayu dan berdekatan antara satu sama lain hingga menyebabkan api merebak pantas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mangsa Maria Awang, 50, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, semasa kejadian dia sedang bekerja di restoran makanan segera berhampiran.
"Saya berada di dapur restoran sebelum rakan sekerja yang tinggal di situ menjerit memberitahu rumah kami terbakar.
"Ketika sampai di lokasi api masih marak dan saya sendiri melihat rumah yang telah saya duduki sejak empat tahun itu terbakar. Tiada apa yang selamat kecuali dua daripada tiga gelang pusaka ibu ditemui selepas itu," jelasnya.
Suaminya Abdul Talib Seman, 42, pula memberitahu, dia sedang membasuh baju ketika menyedari kebakaran itu dan segera menyelamatkan anak lelakinya yang tidur di dalam bilik.
"Api berpunca dari rumah bersebelahan dan ia merebak kurang 15 minit sahaja. Saya juga tidak sempat menyelamatkan harta benda kecuali membawa gumpalan kain terbakar kerana merasakan gelang isteri di simpan di situ.
"Anak saya juga sempat dikejutkan biarpun bumbung dan dinding rumah ketika itu mula jatuh," katanya.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment