Berita Harian Online | 'Roslina pulanglah ayah sudah meninggal dunia':
KUALA LUMPUR: Pulanglah Roslina... ayah sudah meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah anak kesayangannya buat kali terakhir, kata Sabri Man, 38, suami kepada pegawai bank, Roslina Awang Kechik, 37, yang hilang sejak tujuh bulan lalu.
Bapa Roslina, Awang Kechik Wok, 75, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru dan semput jam 2.30 petang di rumahnya di Bandar Pusat Jengka 12, Pahang, Jumaat lalu, namun anak kesayangan yang dinanti tidak pulang untuk sekurang-kurangnya menatap wajah bapanya buat kali terakhir.
Sabri berkata, bapa mentuanya sudah lama menghidap penyakit berkenaan, namun bertambah teruk sejak Roslina menghilangkan diri 22 April lalu, malah arwah juga rapat dengan isterinya dan sering menyebut nama anak kelima dari tujuh beradik itu sejak kehilangannya kerana terlalu merindui wanita berkenaan.Sebagai menantu, saya kesal kerana gagal memenuhi hasrat bapa mentua yang ingin berjumpa Roslina sebelum menghembuskan nafas terakhir. Apa lagi saya pernah berjanji untuk membawa Roslina pulang, katanya kepada Berita Harian, semalam.
Roslina dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar. Mangsa dikatakan keluar ke tempat kerja menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, beberapa minggu selepas kehilangan Roslina, suaminya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit isterinya yang meminta supaya tidak mengganggu hidupnya dan tidak mencarinya.
Pasangan berkenaan mempunyai tiga anak berusia lapan hingga 13 tahun yang kini dijaga Sabri sendirian.
Sabri berkata, walaupun sudah tujuh bulan hilang tanpa khabar berita, beliau bersama ahli keluarga tidak berputus asa untuk terus mencari Roslina termasuk sehingga Medan dan Jakarta.
Saya sendiri tak tahu apa lagi perlu dilakukan, pelbagai ikhtiar sudah kami sekeluarga usahakan untuk menjejakinya tetapi sehingga kini tidak berhasil, katanya.
No comments:
Post a Comment