Pages

Thursday, March 17, 2011

Askar Gaddafi mara ke Benghazi




Pemberontak beredar menaiki kenderaan pacuan empat roda selepas tentera pro Gaddafi menyerang bandar Ajdabiyah, kelmarin. Televisyen kerajaan Libya melaporkan tentera pro gaddafi kemudian berjaya menawan semula bandar itu kelmarin. - REUTERS


AJDABIYAH 16 Mac - Tentera Muammar Gaddafi meneruskan kemaraan ke timur menuju ke Benghazi, ibu kota yang dikuasai pemberontak dan rejim beliau meramalkan akan mencapai kemenangan dalam masa beberapa hari lagi, manakala kuasa dunia terus membahaskan usul bagi menguatkuasakan zon larangan terbang untuk membantu pemberontak.
Kuasa asing mengutuk tindakan tentera Gaddafi, tetapi kurang bersemangat untuk bertindak bagi membantu pemberontakan yang mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang berjaya menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan Presiden Hosni Mubarak.
Ramai di dunia Arab khuatir kemenangan Gaddafi dan tindakan kekerasan untuk menamatkan protes di Bahrain boleh menyekat arus demokrasi di rantau ini.
Negara-negara yang menyokong zon larangan terbang bagi menghalang serangan udara tentera Gaddafi ke atas pemberontak mengedarkan draf resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam bagi menguatkuasakan zon larangan terbang itu, tetapi negara lain berkata, banyak persoalan belum terjawab.
Sementara itu Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim berkata, kerajaan berharap untuk menawan semula semua wilayah yang dikuasai pemberontak tidak lama lagi.
"Kami berharap kemenangan boleh dicapai secepat mungkin, saya mengharapkan kemenangan dalam masa beberapa hari," kata Kaim di Tripoli.
Gaddafi dalam ucapan di televisyen mencabar negara-negara Barat yang menyokong penguatkuasaan zon larangan terbang supaya menyerang Libya.
"Perancis kini menunjukkan kepalanya dan mengancam untuk menyerang Libya.
"Serang Libya? Kamilah yang akan menyerang kamu," katanya kepada penyokong di tengah Tripoli.
Kedudukan bandar raya Benghazi, timur Libya kini nampak terancam selepas askar rejim menawan persimpangan jalan di Ajdabiyah, bagi membuka laluan ke ibu kota pentadbiran pemberontak itu.
"Bandar Ajdabiyah sudah dibersihkan daripada askar upahan dan pengganas yang ada kaitan dengan pertubuhan al-Qaeda," lapor stesen televisyen kerajaan, merujuk kepada pemberontak yang mahu menjatuhkan pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: