Pages

Thursday, March 17, 2011

Lagi bahaya radiasi di loji Fukushima




GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan salah sebuah loji nuklear yang musnah di loju Fukushima Daiichi di Fukushima, timur laut Jepun.


TOKYO - Loji nuklear di Fukushima-Daiichi, Fukushima dibiarkan kosong beberapa jam semalam selepas peningkatan radiasi memaksa pekerja-pekerja kecemasan melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka.
Keadaan tersebut menyebabkan pihak berkuasa menembak meriam air dalam usaha untuk menyejukkan beberapa reaktor nuklear yang terbakar di loji berkenaan.
Semua 50 pekerja kecemasan yang bertungkus- lumus cuba menyejukkan reaktor-reaktor nuklear itu berundur beberapa ratus meter dari loji Fukushima-Daiichi selepas tahap radiasi menjadi terlalu merbahaya.
Sebelum ini terdapat empat letupan yang berlaku di reaktor tersebut. Kadar tinggi radiasi itu kemudian menurun semula pada malam semalam.
Bagaimanapun, Menteri Industri Perancis, Eric Besson mendakwa Jepun gagal mengawal situasi di Fukushima dan negara itu kini di ambang malapetaka nuklear.
"Tidak perlu lagi berdolak-dalik. Mereka (kerajaan Jepun) telah gagal mengawal situasi di Fukushima. Ini adalah pendapat kami walaupun ia bukan apa yang dikatakan oleh mereka," ujarnya.
Pemerintah Perancis turut menasihatkan rakyat mereka supaya meninggalkan Jepun sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada hari yang sama, beberapa buah helikopter tentera gagal menyelesaikan misi untuk menyejukkan reaktor-reaktor nuklear itu dengan menggunakan kaedah mencurahkan air dari udara.
Sebelum itu, pasukan-pasukan kecemasan terbabit mengepam air laut ke dalam reaktor-reaktor nuklear itu dengan menggunakan jentera bomba tetapi usaha tersebut terhenti seketika selepas mereka berundur.
Sebanyak empat reaktor loji nuklear Fukushima yang terletak 240 kilometer dari sini, mengalami kerosakan sejak gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter dan tsunami melanda Jepun pada Jumaat lalu.
Kebimbangan berlakunya kebocoran radiasi menyebabkan kerajaan Jepun memindahkan 180,000 penduduk yang tinggal di sekitar loji itu.
Lebih 140,000 lagi penduduk yang berada dalam lingkungan 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima-Daiichi diminta tidak keluar rumah.
Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan Perancis menyatakan, krisis loji nuklear Fukushima-Daiichi kini berada pada tahap enam dan semakin menghampiri kemalangan nuklear di Chernobyl pada 1986.
Tsunami yang berlaku pada Jumaat lalu itu dianggarkan meragut lebih 10,000 nyawa.
Angka kematian masih belum diketahui kerana anggota-anggota penyelamat masih belum melakukan kerja-kerja mencari di semua kawasan yang musnah akibat ombak setinggi 10 meter.
Sementara itu, salji yang turun semalam di kawasan bencana menyukarkan lagi kerja-kerja untuk mencari mangsa yang terselamat dalam tragedi tsunami.
Satu lagi gempa bumi sekuat 6.0 pada skala Richter turut melanda Jepun semalam.
Gempa bumi itu berpusat 96 kilometer ke timur Tokyo dan gegaran dapat dirasakan di timur negara ini.
Ia berpusat dalam Lautan Pasifik pada kedalaman 25 kilometer pada pukul 12.52 tengah hari waktu tempatan. Namun, amaran tsunami tidak dikeluarkan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: