Pages

Thursday, March 10, 2011

Penduduk Kristian, Islam bertempur di Kaherah

Berita Harian

2011/03/10

KAHERAH: Beribu-ribu penduduk Kristian dan Islam bertempur di ibu negara Mesir selepas seorang lelaki Kristian dilaporkan mati manakala berpuluh-puluh yang lain cedera berikutan kemarahan membabitkan kejadian pembakaran sebuah gereja di kejiranan berhampiran.

Keganasan sejak kelmarin adalah yang kedua membabitkan pertempuran kaum dalam tempoh beberapa hari dan yang terkini dalam siri bantahan ganas selepas hampir sebulan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.
Keganasan tercetus selepas penganut Kristian Koptik mengadakan bantahan di beberapa lokasi di Kaherah menentang dakwaan oleh majoriti penduduk beragama Islam di negara itu.
Penduduk Kristian marah dengan kejadian pembakaran gereja oleh perusuh Islam di Kaherah. Pemerintah tentera Mesir berikrar untuk membina semula gereja terbabit manakala perdana menteri Essam Sharaf bertemu dengan penunjuk perasaan di luar bangunan sebuah stesen televisyen tempatan.

Penunjuk perasaan bagaimanapun berkata mereka mahukan lebih banyak langkah untuk meningkatkan status penduduk Kristian.

Kira-kira 2,000 daripada mereka menghalang jalan raya utama di kawasan timur bandaraya itu dan melempar batu ke arah pemandu kenderaan.

Satu lagi kumoulan seramai 1,000 orang lagi berkumpul di luar bangunan televisyen di pinggir Kaherah.
Kumpulan termasuk pemungut sampah beragama Kristian yang menuntut hak yang sama dan kehidupan lebih baik. Pertempuran tercetus apabila mereka berhadapan dengan penduduk Islam, kata saksi.

Sekurang-kurangnya seorang penduduk Kristian maut dan 100 yang lain cedera dalam pertempuran, kata seorang pegawai hospital Mesir yang enggan mendedahkan namanya. – AP

No comments: