Pages

Monday, February 14, 2011

Bahrain, Yaman, Algeria pula hadapi masalah


2011/02/14

DUBAI: Anggota keselamatan Bahrain meningkatkan kawalan dengan menambah pos sekatan jalan raya dan membuat rondaan selepas beberapa kumpulan antikerajaan membuat gesaan menerusi web media sosial supaya melakukan protes umpama di Mesir.

Dalam surat terbuka kepada pemimpin negara itu, Pusat Hak Asasi Manusia Bahrain menggesa pembaharuan meluas dilaksanakan termasuk membubarkan anggota keselamatan, menghukum pegawai kerajaan yang menyalah guna kuasa dan membebaskan 450 aktivis, pemimpin agama dan tokoh lain.
Bantahan antikerajaan juga dilaporkan berterusan di Yaman dan Algeria semalam meskipun pihak berkuasa cuba menyekatnya.
Kawalan keselamatan di Bahrain dianggap menyasarkan majoriti penduduk Syiah selepas pemimpinnya mengetuai perarakan antikerajaan Isnin lalu.

Ia juga dianggap bukti pemimpin Sunnah bimbang perkembangan itu sekalipun menawarkan insentif ekonomi dan menjanjikan kebebasan media lebih luas bagi menamatkan protes.

Minggu lalu, Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa, meluluskan pemberian hampir AS$2,700 (RM8,100) kepada setiap keluarga.

Di SANAA, polis Yaman menggunakan rotan dan pisau bagi menghalang penunjuk perasaan berarak di ibu negara buat hari ketiga untuk menggesa pembaharuan politik dan pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh.
Awal semalam, polis menggunakan belantan untuk menghalang perarakan penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar universiti di Dataran Hada.

Penunjuk perasaan menuntut presiden meletak jawatan atas tuduhan terbabit rasuah dan salah guna kuasa lain.

Parti pembangkang turut menggesa Saleh menyingkirkan anak lelakinya dan anggota keluarganya yang lain daripada jawatan dalam tentera, agensi keselamatan dan jabatan kerajaan.

Di ALGIERS, pergerakan pembangkang Algeria dilaporkan merancang tindakan seterusnya selepas kerajaan mengharamkan perarakan di ibu negara dan kota lain.

Pihak berkuasa menempatkan 30,000 anggota pencegah rusuhan di seluruh ibu negara bagi menghalang bantahan 2,000 orang kerana tidak mahu satu lagi kempen bantahan mendapat sokongan seperti di Mesir dan Tunisia. – AP/AFP
Berita Harian Online | Bahrain, Yaman, Algeria pula hadapi masalah

No comments: