Pages

Wednesday, December 7, 2011

Nasrallah ikrar bekal senjata

Berita Harian Online | Nasrallah ikrar bekal senjata:

NASRALLAH muncul di khalayak ramai buat kali pertama sejak   2008.
NASRALLAH muncul di khalayak ramai buat kali pertama sejak 2008.
Pergerakan Hizbullah tidak hirau perubahan berlaku di rantau Arab

BEIRUT: Pemimpin pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah, semalam berikrar membekalkan lebih banyak senjata kepada anggotanya tanpa mengira perubahan yang berlaku di rantau itu, ketika muncul di khalayak ramai buat kali pertama sejak 2008.
Meraikan Hari Ashura, Nasrallah berucap kepada beratus ribu puak Syiah yang berkumpul di kubu kuatnya di pinggir Beirut selama beberapa minit sambil berjenaka: “Jangan pergi, saya akan kembali ke skrin,” sebelum dibawa pergi oleh pengawal peribadinya.
Dalam ucapan yang disiarkan di skrin besar sejurus selepas dia dibawa pergi, Nasrallah juga berikrar pergerakan Hizbullah yang disokong Iran itu akan terus diberi senjata tidak kira perubahan serantau yang berlaku, merujuk kepada negara jiran, Syria.

“Mesej kepada semua yang bersubahat menentang dan mahukan perubahan di dunia Arab, kami tidak akan meletak senjata. Semakin hari, kumpulan penentang mendapat lebih ramai pejuang, melatih mereka dengan lebih baik dan mendapat lebih banyak senjata berat. Semua senjata yang sudah berkarat diganti,” kata pemimpin Syiah itu.

Ramai pemerhati berkata, krisis Syria yang mengancam menjatuhkan sekutu Hizbullah, Presiden Bashar al-Assad, memberi tamparan kepada kumpulan itu.

Dianggap sebagai sasaran bagi seteru utamanya, Israel, Nasrallah muncul buat kali terakhir pada Julai 2008, pada hari pembebasan lima tahanan Lubnan oleh rejim Zionis itu.
Jumaat lalu, dia dirakamkan kamera berjalan ke arah pentas ketika penyokongnya bertolak untuk berada lebih dekat dengan pemimpin itu, yang dikawal ketat oleh kumpulan pengawal peribadi berpakaian serba hitam.

Nasrallah kelihatan tenang ketika berjalan menuju ke pentas dan bercakap beberapa minit sebelum dibawa pergi dari situ.

Pemimpin Syiah itu juga mengecam Amerika Syarikat, menuduh ia cuba memusnahkan Syria dalam usaha menonjolkan diri berikutan kekalahannya di Iraq.

“Golongan berlagak pandai dan hipokrit ini dikenali kerana menyokong semua kepemimpinan kuku besi yang sudah runtuh dan mengecam diktator sebaik mereka jatuh. Ini karektor syaitan,” katanya.

Nasrallah turut mengulangi pendirian untuk terus menyokong Assad dan mengecam Majlis Kebangsaan Syria, kumpulan pembangkang anti-Assad utama, kerana mensasarkan untuk memusnahkan Syria dan lebih rapat dengan Washington dan Israel.

“Majlis Kebangsaan Syria, dibentuk di Istanbul dan pemimpinnya, Burhan Ghalium, cuba menonjolkan diri kepada Amerika dan Israel,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Ghalium dipetik sebagai berkata Syria yang ditadbir kumpulan pembangkang utama itu akan memutuskan hubungan ketenteraan dengan Iran, Hizbullah dan Hamas. –AFP

No comments: