QUETTA 9 Dis. - Sekurang-kurangnya 34 trak di terminal Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di barat daya Pakistan bagi bekalan tentera asing di Afghanistan musnah dalam satu serangan roket oleh kumpulan militan, semalam.
Sebanyak 44 trak minyak dan barangan diletakkan di terminal sementara di Quetta selepas Pakistan menutup laluan untuk tentera NATO ekoran berang dengan serangan udara pertubuhan itu yang mengorbankan 24 tentera Pakistan baru-baru ini.
Ketua polis Quetta, Ahsan Mehboob berkata, hanya dua trak yang masih elok akibat serangan roket dan peluru itu yang turut mencetuskan kebakaran besar.
Namun, tiada kematian dilaporkan.
Seorang pegawai kanan polis, Malik Arshad memberitahu AFP sebanyak 20 trak minyak NATO terbakar dalam serangan itu.
"Setakat ini kami tidak menerima sebarang laporan kematian kerana kebakaran masih tidak dapat dikawal," katanya.
Pasukan separa tentera kini mengawal kawasan kejadian ketika anggota bomba bergelut memadamkan api yang marak.
Terminal itu adalah satu daripada tiga terminal yang dibina di Quetta untuk menempatkan trak NATO yang terkandas.
Setakat ini belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab. - AFP
No comments:
Post a Comment