Pages

Thursday, October 27, 2011

Wanita ditemui selepas 3 hari




DUA lelaki mencari barangan yang masih boleh digunakan di kawasan runtuhan bangunan rumah mereka di Ercis, Turki, semalam. – AFP


ERCIS 26 Okt. – Pasukan penyelamat hari ini menarik keluar seorang wanita berusia 27 tahun dari sisa runtuhan bangunan selepas 66 jam gempa bumi melanda timur Turki dan mengorbankan sekurang-kurangnya 461 orang.
Mangsa ialah Gozde Bahar yang merupakan seorang guru di bandar Ercis, wilayah Van, kawasan yang teruk terjejas akibat gempa bumi Ahad lalu.
Kerajaan Turki terus berharap untuk menemui mangsa yang terselamat daripada sisa runtuhan bangunan, tiga hari selepas gempa berlaku dan akhirnya meminta bantuan luar untuk memberi perlindungan kepada beribu-ribu orang yang kehilangan kediaman.
Di kawasan runtuhan bangunan di tengah Ercis, pasukan penyelamat yang bekerja keras tanpa henti lebih 48 jam menghentikan operasi sambil menyakinkan tiada siapa lagi yang boleh diselamatkan hidup-hidup.
Namun beberapa saat selepas operasi menyelamat dihentikan, mereka menerima berita seorang mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan telah membuat panggilan telefon.
“Terdapat tiga mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan selepas kami mengalihkan konkrit tebal ini, talian telefon mereka akan boleh digunakan,” kata seorang anggota penyelamat selepas menyambung semula kerja mereka.
Pihak berkuasa berkata, angka kematian dijangka meningkat ekoran masih ramai yang hilang.
Sementara itu, aduan mengenai kekurangan khemah semakin meningkat setiap hari dengan mangsa gempa terpaksa berebut untuk mendapatkannya ketika pekerja bantuan mengagihkannya.
Bulan Sabit Merah Turki bergelut untuk mengagihkan bantuan khemah yang tidak mencukupi kepada mangsa yang berdepan dengan cuaca sejuk di waktu malam.
Wilayah itu turut menerima hujan semalam dan dijangka salji akan turun tidak lama lagi.
Perdana Menteri Reccep Tayyip Erdogan yang sebelum ini menyatakan mereka boleh mengendalikan bencana ini meminta bantuan material, termasuk rumah pasang siap, khemah dan kontena daripada 30 negara, semalam. – REUTERS/AFP

No comments: