Pages

Thursday, September 15, 2011

Remaja koma dibaling topi keledar meninggal

ALOR SETAR: “Salah tetap salah. Buat masa ini saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” kata Che Kassim Darus, 49, bapa Mohd Solihin, 14, yang meninggal dunia pagi semalam, selepas lebih sebulan koma akibat cedera parah di kepala terkena topi keledar dipercayai dibaling anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, dekat Perlis, 6 Ogos lalu.
Che Kassim berkata, anak keduanya itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar pada jam 7.43 pagi semalam selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Selasa lalu.

Harian Metro pada 10 Ogos lalu melaporkan Mohd Solihin cedera parah di kepala selepas terjatuh dari motosikalnya akibat terkena topi keledar berkenaan. Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, remaja yang sudah tidak bersekolah dikatakan menunggang motosikal sendirian manakala dua rakannya menunggang motosikal di belakang apabila dia terjatuh. Rakannya mendakwa ternampak seorang daripada dua anggota polis di situ membaling objek dipercayai topi keledar.

Berikutan itu, mangsa dipercayai terpelanting dan menyebabkan bahagian belakang kepalanya bengkak dan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke HTF sebelum dipindahkan ke HSB selepas keadaannya kritikal.

Che Kassim berkata, walaupun sedih tetapi dia reda dengan pemergian anak kedua daripada sembilan beradik itu kerana jika dia terus hidup, keadaannya teruk kerana terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Ditanya mengenai sebarang tindakan yang akan diambil berhubung kejadian itu, Che Kassim enggan mengulas kerana belum mahu memikirkan perkara itu. Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Lubuk Sireh petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros mengesahkan menerima laporan mengenai kematian mangsa.

Katanya, pasukan forensik polis akan menyiasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan sehingga kini mengklasifikasikan kes kematian mengejut.

“Mengenai laporan keluarga mangsa kononnya mangsa maut akibat dibaling topi keledar anggota polis, kamimenyerahkan laporan berkenaan kepada penasihat undang-undang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman,” katanya.

No comments: