|
SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Empat stesen kereta api bawah tanah di sini ditutup buat sementara kelmarin dalam satu tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kumpulan penggodam komputer, Anonymous berhubung kekejaman polis dan kebebasan bersuara.
Sebelum ini perkhidmatan kereta api bawah tanah utama di sini menutup rangkaian telefon bimbit di beberapa stesen kereta api bawah tanah pada Khamis lalu untuk mengelakkan para penunjuk perasaan daripada menganjurkan protes berhubung tindakan polis menembak mati seorang lelaki pada bulan lalu.
"Tindakan ini adalah untuk menutup mulut orang ramai," kata seorang aktivis berusia 41 tahun, Carlos Wilson yang hadir untuk membantah kekejaman polis dan penutupan rangkaian telefon pada minggu lalu.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan muncul di sebuah stesen kereta api semasa waktu puncak pada pagi kelmarin tetapi mereka bersurai selepas pihak berkuasa menutup stesen kereta api berkenaan.
Tidak lama kemudian, tiga lagi stesen kereta api bawah tanah ditutup kerana penuh sesak dengan penunjuk perasaan.
Polis berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini walaupun sejumlah anggota polis tiba di lokasi kejadian dengan memakai seragam dan kelengkapan antirusuhan.
Anonymous merupakan kumpulan penggodam antarabangsa yang pernah menceroboh sistem komputer di kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia selain beberapa agensi kewangan utama seperti PayPal, MasterCard dan Visa.- Reuters, kosmo
No comments:
Post a Comment