BALING 16 Ogos — Sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Rusa, Kampung Lalang di sini berhadapan dengan keperitan hidup untuk membesarkan tiga bayi kembar perempuan mereka yang kini berusia tiga bulan.
Bayi kembar tiga itu, Nurul Fasihah, Nurul Farishah, dan Nurul Farisha Mansor memerlukan sekurang-kurangnya 15 helai lampin pakai buang dalam sehari.
Mereka juga memerlukan susu botol sekurang-kurangnya enam hingga tujuh botol sehari. Dalam seminggu seberat 1.8 kg susu tepung bayi diperlukan.
Bapa bayi berkenaan Mansor Ibrahim, 44, seorang pemandu lori kayu getah secara sambilan sejak beberapa bulan ini hanya mampu memperoleh pendapatan RM400 sebulan manakala isterinya, Yusniza Yusuf, 37, tidak bekerja.
Mansor berkata, dengan pendapatan sebanyak itulah dia menyara keluarganya termasuk membesarkan anak sulung mereka Mohd. Adam Haikal, 3, dan terpaksa menumpang di rumah ibunya Esah Tahir, 73.
Katanya, paling menyedihkan, dia tidak dapat menyediakan persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
Bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini, Mansor sudah pun membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, tetapi masih menunggu permohonannya diluluskan.
Ketika ini, keluarga itu tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, Pengarah JKM Kedah, Zulkifli Ramli ketika dihubungi berkata, kes permohonan Mansor akan diberi parhatian segera. – BERNAMA, utusan
No comments:
Post a Comment