Pages

Wednesday, July 20, 2011

Tinggal bayi atas but kereta


SELAMAT...Inspektor Haslinda Ahmad memangku bayi dibuang ibu sambil diperhatikan Muhammad.
SELAMAT...Inspektor Haslinda Ahmad memangku bayi dibuang ibu sambil diperhatikan Muhammad.


KOTA TINGGI: Panik apabila terpaksa melahirkan anak luar nikahnya sebelum sempat sampai di hospital, seorang wanita sekadar melahirkan bayi itu di ladang kelapa sawit Felda Air Tawar 3 di sini, sebelum meninggalkan bayi itu di atas but kereta penduduk kampung.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 14 Julai lalu dan terdahulu, wanita berusia 20 tahun itu dalam perjalanan dari Pengerang ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk melahirkan anak ditemani teman lelakinya berusia 25 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin pada sidang media semalam berkata, sebelum sempat tiba di HKT, wanita itu berasa sakit untuk bersalin lalu berhenti di ladang kelapa sawit di tanah rancangan berkenaan.

“Akibat panik selepas melahirkan anak luar nikah, pasangan itu berpatah semula ke Pengerang dan meninggalkan bayi masih bertali pusat itu atas kereta penduduk Felda Sungai Mas, kira-kira 30 kilometer dari Felda Air Tawar 3.

“Bayi lelaki dibalut kain itu ditemui seorang lelaki berusia 39 tahun ketika menghantar anaknya ke sekolah kira-kira jam 7 pagi.


“Dia memaklumkan penemuan itu kepada isterinya sebelum mereka menghantar bayi seberat tiga kilogram itu ke hospital,” katanya.

Menurutnya, penemuan itu menggemparkan penduduk tanah rancangan berkenaan dan sehari selepas kejadian, wanita terbabit tampil menjenguk bayinya itu di hospital.

Katanya, selepas ditanya pengurusan hospital, wanita terbabit mengaku meninggalkan bayi berkenaan sejurus selepas dilahirkan di kawasan semak ladang sawit itu dan pemeriksaan lanjut mengesahkan dia baru bersalin.
“Wanita berasal dari Felda Tunggal serta teman lelakinya berasal dari Kampung Teluk Empang di sini, kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati wanita terbabit pernah melahirkan seorang lagi anak luar nikah kini berusia lebih setahun dipelihara ibu bapanya,” katanya.

Muhammad berkata, bayi berkenaan tidak cedera diserahkan sementara kepada ibunya masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk disusukan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan susulan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Ladang Teluk Sengat, dekat sini kelmarin, seorang bayi lelaki juga dipercayai baru dilahirkan ditemui dengan kesan digigit semut dan nyamuk.

“Bayi berkenaan ditinggalkan di tepi longkang di belakang sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum ditemui penduduk kira-kira jam 2.45 pagi.

“Tangisan bayi malang ditinggalkan itu didengari seorang penduduk lalu segera menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, sepasukan polis bersama kakitangan HKT ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan bayi berkenaan yang lebam di mata serta hidung akibat digigit semut dan nyamuk.

“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes itu,” katanya
myMetro | Tinggal bayi atas but kereta

No comments: