Pages

Thursday, July 28, 2011

Tanah runtuh di Korea, 32 maut



Pasukan menyelamat mengangkat satu mayat penduduk yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat tanah runtuh ekoran hujan lebat di Seoul, semalam. - REUTERS


SEOUL 27 Julai - Seramai 32 maut, sementara 10 lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di sebuah pusat peranginan di bandar Chuncheon, utara Korea Selatan, awal pagi ini.

Pegawai bomba, Byun In-soo berkata, 10 yang terbunuh merupakan pelajar kolej yang sedang mengikuti kerja-kerja sukarela.

Katanya, kesemua mangsa tertimbus ketika sedang tidur dalam sebuah kabin di Chuncheon, kira-kira 110 kilometer di timur laut Seoul.

Seramai 24 mangsa turut cedera dalam kejadian tanah runtuh itu yang menyaksikan beberapa buah bangunan serta premis musnah.

Kira-kira 500 pekerja penyelamat kini giat menjalankan operasi mencari 10 mangsa yang hilang, katanya.

Seorang lagi pegawai bomba, Lee Ju-hee berkata, antara yang maut ialah sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Pegawai kaji cuaca berkata, kira-kira 400 milimeter bacaan hujan direkod di Seoul dalam tempoh 17 jam sejak tengah hari semalam yang mengakibatkan beberapa bahagian bandar utama termasuk Seoul ditenggelami air.

Jalan-jalan raya di Seoul hari ini turut dilanda banjir lumpur sehingga memaksa orang ramai naik ke bumbung kereta masing-masing yang hampir ditenggelami air.

Banjir turut menenggelamkan stesen-stesen kereta api bawah tanah dan menyebabkan sisa kumbahan melimpah dari tangki pembetung.

Menurut pegawai bencana bandar, kira-kira 800 rumah ditenggelami air di Seoul, namun masih belum ada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan.

Agensi Polis Metropolitan Seoul mengeluarkan satu amaran lalu lintas serta mengerahkan lebih ramai anggota polis bagi mengawal keadaan akibat hujan lebat. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: