Pages

Thursday, July 28, 2011

Hosni Mubarak enggan makan


SHARM EL-SHEIKH, Mesir 27 Julai – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dilaporkan enggan makan sejak empat hari lalu menyebabkan beliau kehilangan berat badan dan lemah, meningkatkan spekulasi bekas pemimpin negara ini tidak akan dibicarakan pada minggu depan seperti dijadualkan.

Ketua pasukan perubatan Mubarak, Assam Azzam semalam berkata. bekas Presiden yang digulingkan itu lemah dan kehilangan berat badan selepas enggan makan.

Doktor di hospital di sini berkata, Mubarak hanya minum air sahaja selepas didesak pasukan perubatan atau isterinya, Suzanne.

‘‘Mubarak lebih mendengar kata doktor berbanding isterinya.

‘‘Doktor akan terpaksa memberi makanan melalui tiub makanan jika keadaannya terus buruk,’’ kata Azzam.

Beliau menambah, tekanan perasaan merupakan ancaman terbesar kepada kesihatan Mubarak.

‘‘Kami bimbang keadaan psikologi yang buruk akan mempengaruhi keadaan fizikalnya,’’ ujarnya.

Azzam berkata, Mubarak yang mentadbir Mesir selama 29 tahun dijangka dibicarakan pada 3 Ogos ini atas dakwaan rasuah dan mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan ketika pemberontakan rakyat baru-baru ini.

Walaupun tiada pengumuman rasmi, media tempatan melaporkan sebuah bilik mahkamah telah disediakan di Sharm el-Sheikh untuk mengadakan perbicaraan tersebut.

Ketua keselamatan selatan Sinai, Mohammed Nagib berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Kementerian Dalam Negeri untuk mengatur rancangan keselamatan sempena perbicaraan berkenaan.

‘‘Jika perbicaraan diadakan di bandar ini, kementerian akan menghantar pasukan keselamatan dari tempat lain bagi memastikan tahap keselamatan,’’ ujarnya. – Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: