Pages

Monday, May 9, 2011

Osama bin Laden dilapor jaga penampilan



SEDUTAN video yang didedahkan oleh Jabatan Pertahanan AS menunjukkan Osama bin Laden melihat wajahnya sendiri dan Presiden Barack Obama di televisyen di kediamannya di Abbottabad, Pakistan. Empat gambar Osama di atas adalah sedutan dari video berlainan yang digunakannya untuk menyampaikan mesej khas. - AFP


WASHINGTON 8 Mei - Pegawai Amerika Syarikat (AS) semalam mendedahkan menemui video-video luar biasa memaparkan Osama bin Laden yang dirampas ketika serbuan ke atas pemimpin al-Qaeda itu Isnin lalu.
Menurut pegawai perisikan AS itu, Osama ialah seorang pemimpin yang berusaha keras untuk membentuk imejnya.
"Serbuan ke atas Osama oleh 20 anggota tentera elit AS di bandar Abbottabad, Pakistan yang membunuh pengganas yang paling dikehendaki AS itu adalah satu tindakan cemerlang perisikan dalam sejarah.
"Adalah jauh tersasar jika Osama hanya dianggap sebagai tokoh boneka sahaja kerana dia sebenarnya seorang pemimpin yang aktif," kata seorang pegawai kanan perisikan AS yang enggan disiarkan namanya, kepada wartawan di Pentagon.
Rampasan itu termasuklah video digital, audio dan fail, peralatan mesin cetak, peralatan komputer, alat rakaman serta dokumen tulisan tangan.
"Hasil serbuan itu, kami kini memperolehi koleksi terbanyak barangan pemimpin utama pengganas itu. Ini mungkin adalah kejayaan perisikan terbesar dalam generasi kini," ujar pegawai itu.
Lima video yang diperolehi itu telah disiarkan kepada umum, termasuk satu video yang memaparkan Osama duduk berselimut menonton video rakamannya sendiri di televisyen sambil memegang alat kawalan jauh.
Dalam video itu, Osama kelihatan berambut putih, tetapi dalam satu lagi video yang bertujuan untuk diedarkan sebagai propaganda, rambutnya telah diwarnakan hitam.
Audio telah dimatikan dari video itu untuk mengelak kedengaran sebarang kemungkinan mesej pengganas, tambah pegawai perisikan AS itu.
Dalam satu lagi video yang dipercayai untuk 'mesej kepada rakyat AS' dan dirakam pada Oktober atau November tahun lalu, Osama kelihatan rapi dan kemas serta bercakap menggunakan teks yang disediakan.
"Tiga lagi rakaman itu adalah latihan mesej propaganda yang mempunyai masalah cahaya. Ini jelas menunjukkan pemimpin al-Qaeda itu sangat mementingkan imejnya," katanya. - AFP
bharian

No comments: