OSAMA (kanan) ketika muda bersama jurulatih judo dari Taiwan, Jimmy Wu. |
DUBAI: Ibu mentua Osama bin Laden mati akibat serangan sakit jantung selepas menerima berita pemimpin al-Qaeda itu mati dibunuh tentera Amerika Syarikat.
Sebuah akhbar berbahasa Arab yang diterbitkan di Lodon, Asharq Al-Awsat melaporkan, Nabih al-Ghanem, ibu isteri pertama Osama, Najwa, dibawa ke hospital di Latakia, utara Syria selepas diserang sakit jantung.
Menurut akhbar berkenaan, wanita berusia 70-an tahun itu pengsan selepas Presiden Barack Obama mengumumkan pembunuhan Osama dalam serangan di Pakistan 2 Mei lalu.
Osama berkahwin dengan Najwa, sepupunya kelahiran Syria ketika beliau berusia 17 tahun dan mereka mempunyai 11 anak. Najwa meninggalkan Afghanistan beberapa hari sebelum serangan 11 September 2001 terhadap Amerika Syarikat dan kini menetap di Syria.
Januari tahun lalu, akhbar itu melaporkan, seorang anak pemimpin al-Qaeda itu dibenarkan meninggalkan Iran untuk menjaga ibunya di Syria.
Sebahagian kedudukan anggota keluarga Osama tidak diketahui sejak serangan 11 September lapor akhbar berkenaan. Menurut akhbar itu lagi, Osama mengahwini isteri keduanya pada 1983 dan mereka mempunyai tiga anak sebelum bercerai.
Beberapa orang tinggal bersamanya di Abbottabad, Pakistan. Mereka termasuk tiga isterinya dan kira-kira 12 anak mereka, menurut pihak berkuasa Pakistan.
Sekurang-kuranghnya lima orang terbunuh dalam serangan tentera Amerika itu. Mereka ialah Osama, yang mayatnya dibawa oleh komando AS berkenaan, seorang anaknya, dua pengawal peribadi yang dikenali sebagai Ahmed Kuwaiti, dan seorang wanita, kata sumber keselamatan Pakistan.
Yang terselamat, tiga wanita dan anak mereka, kini ditahan oleh tentera Pakistan.
Ketika disoal siasat, isteri termudanya, Amal Ahmed Abdulfattah, 29, warga Yaman memberitahu, Osama menetap di vila berkenaan sejak lima tahun lalu. - AFP
mymetro
No comments:
Post a Comment