Pages

Tuesday, May 3, 2011

Muammar Gaddafi lancar serangan balas


Pegawai kerajaan Libya dan penyokong setia Gaddafi melawat bangunan kediaman Gaddafi yang ranap dalam serangan NATO di Tripoli, kelmarin yang mengorbankan anak lelaki bongsu dan tiga cucunya. - AP

TRIPOLI 2 Mei - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan keras ke atas kumpulan pemberontak, sementara penyokong-penyokongnya bertindak membakar bangunan kedutaan Barat selepas beliau terselamat dalam serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mengakibatkan anak lelaki bongsunya dan tiga cucunya terkorban, kelmarin.
Gaddafi dijangka menghadiri majlis pengebumian anaknya, Saif Al-Arab, 29, dan tiga cucunya, yang dijangka diadakan hari ini dan kemunculannya ditunggu-tunggu ramai dengan pihak berkuasa menyatakan beliau berada di dalam rumahnya yang rosak teruk akibat serangan tiga peluru berpandu NATO lewat kelmarin.
Gaddafi yang melancarkan perang terhadap pemberontak bagi mematahkan penentangan mereka terhadap pemerintahan autoritariannya selama 41 tahun sejak pertengahan Februari lalu tidak kelihatan di khalayak ramai selepas serangan itu, walaupun seorang jurucakap menyatakan beliau terselamat.
Kedutaan Britain dan Itali serta jabatan perdagangan dan hal ehwal konsul Amerika Syarikat (AS) diserang dan dibakar oleh pengikut setia Gaddafi yang sebelum itu menerusi stesen televisyen tempatan dirakamkan berikrar akan membalas dendam.
Timbalan Menteri Luar Negara, Khaled Kaim berkata, serangan itu merupakan cubaan keempat untuk membunuh Gaddafi oleh NATO setakat ini.
Beliau menafikan tuduhan di dalam beberapa media yang mendakwa laporan tentang kematian itu direka untuk memburuk-burukkan NATO.
Pakar bedah Perancis, Gerrard Le Clouerec yang tidak berkhidmat untuk kerajaan Libya ketika ditanya mayat-mayat tersebut berkata, Saif al-Arab dan dua kanak-kanak terbabit terbunuh akibat terkena letupan. Muka mereka remuk akibat letupan dan sukar untuk dikenalpasti.
Katanya, beliau meneliti mayat seorang lelaki yang berusia sekitar 30 tahun, dengan janggut dan misai yang nipis dan wajahnya sepadan dengan gambar Saif al-Arab yang ditunjukkan kepadanya. - Reuters, utusan

No comments: