Pages

Tuesday, May 3, 2011

‘Al-Qaeda pasti terus wujud’


KABUL: Kematian Osama bin Laden diraikan di seluruh dunia semalam dengan ramai yang menganggapnya sebagai kemenangan untuk keadilan, namun ada yang mengingatkan bahawa perkembangan itu bukan bererti serangan pengganas akan berakhir. 


“Al-Qaeda akan terus wujud,” kata Haroun Mir, seorang penganalisis di sini, yang menyatakan kematian Osama di Pakistan mengesahkan dakwaan selama ini bahawa negara jiran itu dijadikan tempat persembunyian oleh kumpulan pengganas.
Chairul Akbar, setiausaha agensi antipengganas di Indonesia yang juga sering menjadi sasaran kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, menyatakan kegembiraannya terhadap kematian Osama.
“Kami mengalu-alukan kematian manusia paling bahaya ini dan menghargai usaha Amerika Syarikat menghancurkan musuh dunia ini,” katanya. 

“Osama tidak harus dibenarkan hidup kerana dia menyebarkan ideologi bahaya, termasuk ke Indonesia.” 

Pengerusi pertubuhan Muslim terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama, Said Agil Siradj, berkata kematian Osama membantu memulihkan imej Islam yang menolak keganasan dan sifat radikal. 

“Bagaimanapun, saya tidak rasa keganasan akan terhenti dengan kematian Osama,” kata,” katanya. 
“Selagi wujud penindasan dan ketidakadilan terhadap Muslim di Palestin, keganasan akan berterusan.” 

Lebih 260 orang, kebanyakannya pelancong asing terbunuh dalam beberapa siri serangan pengganas di Indonesia yang dilancarkan oleh kumpulan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda. 

Brian Deegan, seorang peguam di Adelaide, bandar di selatan Australia yang kehilangan anak lelaki berusia 21 tahun, Josh dalam serangan kumpulan berkaitan Al-Qaeda di Bali pada 2002, berkata beliau tidak mendapat sebarang kepuasan mendengar kematian Osama. 

“Tidak ada apa yang boleh mengembalikan anak saya. Namun, saya rasa lebih selamat berhubung masa depan tiga anak saya yang lain,” kata Deegan. 
Sementara itu di PARIS, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata tamparan bersejarah diberi kepada pengganas, tetapi ia bukan bermakna keganasan berakhir. 

“Kempen menentang pengganas harus diteruskan dan negara yang menjadi mangsa harus bersatu melancarkan kempen ini,” katanya. – AP , bharian

No comments: