Pages

Tuesday, May 10, 2011

Mesir beri amaran rakyat ancam keselamatan



KAHERAH 9 Mei - Mesir semalam memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana individu yang cuba mengancam keselamatan negara, selepas berlaku satu pertempuran antara masyarakat Islam dengan Kristian Qibti yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 230 yang lain.
Menteri Kehakiman Abdel Aziz al- Gindi berkata, kerajaan juga akan menguatkuasakan undang-undang bagi membolehkan perbuatan menyerang rumah-rumah ibadat dikategorikan sebagai jenayah serta mencabuli kebebasan beragama.
"Pihak berkuasa tidak teragak-agak bertindak tegas ke atas mereka yang mengancam keselamatan negara. Mesir berada dalam bahaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu persidangan tergempar Kabinet berikutan pertempuran tersebut.
Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir pula berkata, pihaknya telah menahan 190 individu dalam pertempuran tersebut dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah tentera.
Menurut majlis itu, pihaknya juga akan membentuk satu jawatankuasa untuk menilai kerosakan akibat pertempuran tersebut.
Masyarakat Islam dan Kristian Qibti bertempur kelmarin selepas penduduk Islam menyerang gereja Kristian Qibti, Saint Mena di Imbaba untuk membebaskan seorang wanita yang didakwa ditahan kerana telah memeluk Islam.
Satu perintah berkurung turut dikuatkuasakan di jalan yang menempatkan gereja tersebut sehingga tengah hari ini, sementara anggota tentera turut mengawal kawasan sekitar gereja berkenaan. - dpa

No comments: