Pages

Tuesday, May 10, 2011

Harga gula naik 20 sen mulai esok


PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram mulai esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata, langkah untuk merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi hari ini.
"Kerajaan telah membuat keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dan dalam hal ini, Majlis Ekonomi Negara menetapkan subsidi tanggungan kerajaan untuk gula perlu diturunkan lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun berlaku kenaikan, harga runcit gula di Malaysia masih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.
Sebagai contoh, katanya harga runcit gula di Indonesia ialah RM3.80 sekilogram, Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).
Mohd Zain berkata, sebelum merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM400 juta setahun.
Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun dan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun boleh diguna untuk pembangunan lain, katanya. – Bernama

No comments: