Pages

Thursday, May 26, 2011

Taufan terus serang Amerika


PUTING beliung dilihat dekat daerah Chickasha, Oklahoma, kelmarin.
PUTING beliung dilihat dekat daerah Chickasha, Oklahoma, kelmarin.

Puting beliung gempur Oklahoma, korban bencana naik 125 di Missouri

BANDAR RAYA OKLAHOMA: Beberapa puting beliung mula melanda Oklahoma petang kelmarin dan bergerak ke timur laut ketika angka korban bencana alam itu di Missouri meningkat kepada 125 dan 750 lagi cedera.
Pegawai Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Rick Smith, berkata puting beliung terbesar bergerak di El Reno, bandar paling besar di Oklahoma dengan 15,000 penduduk.
“Banyak trak dan kereta terbalik di sepanjang Lebuh Raya Interstate 40. Ia adalah taufan yang sangat besar,” katanya. Smith bagaimanapun, tidak dapat memastikan kelajuan taufan terbabit.

Beliau berkata, ribut besar sedang terbentuk di barat daya Bandaraya Oklahoma dan ia boleh mencetuskan lebih banyak taufan.

Negeri Oklahoma kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, manakala Perkhidmatan Kaji Cuaca melaporkan perkembangan puting beliung sepanjang masa.

Puting beliung baru bermula dua hari selepas taufan besar melanda Joplin di Missouri. Ia adalah yang paling besar pernah melanda Amerika dalam tempoh 64 tahun.
Pihak berkuasa berkata, angka kematian daripada taufan besar yang melanda Joplin dijangka meningkat, dan 1,500 lagi mangsa masih hilang.

Pasukan mencari dan menyelamat menggali celah runtuhan di bandaraya itu yang turut memusnahkan sekurang-kurangnya 2,000 bangunan.

Ancaman taufan baru Joplin disusuli ribut kencang yang melanda negeri Oklahoma kelmarin menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan ramai lagi cedera di Bandaraya Oklahoma. Dua orang lagi terbunuh akibat ribut di Kansas, kelmarin.

Pasukan penyelamat di Joplin berikrar untuk bekerja terus menerus sepanjang malam, bagi mencari mangsa yang mungkin terperangkap.

“Kami sentiasa berharap agar dapat menemui seseorang yang masih hidup,” kata jurucakap majlis bandaraya itu, Dan Crain.

Antara mangsa yang masih hilang ialah seorang kanak-kanak, Skyular Logsdon. Baju-T warna merah dan seluarnya yang koyak ditemui tersangkut di sebatang tiang telefon.

Kanak-kanak itu tidak ditemui sejak malam Ahad apabila puting beliung melanda barat daya Missouri yang mempunyai 50,000 penduduk.

Ibu bapanya ditemui masih hidup dan kini ditempatkan di hospital, bagaimanapun rumah mereka musnah dan kanak-kanak itu masih hilang.

Anggota keluarganya meneruskan usaha mencuri di celah runtuhan bangunan dan membuat pemeriksaan di rumah mayat dan hospital.

“Kami tidak dengar apa-apa berita, tetapi kami akan terus cari sehingga menemuinya,” kata moyang kanak-kanak itu, Deb Cummins. – Agensi Berita Harian Online | Taufan terus serang Amerika

No comments: