Pages

Thursday, April 28, 2011

Saluran paip gas Sinai diletup



SEBAHAGIAN daripada saluran gas terbakar berdekatan bandar al-Arish, Mesir, semalam dipercayai diletupkan oleh pihak yang mensabotaj saluran yang merentasi Sinai yang membekalkan gas ke Israel dan Jordan. - REUTERS


KAHERAH 27 April - Saluran paip gas di Sinai, Mesir meletup hari ini menyebabkan satu kebakaran besar dan memaksa pihak berkuasa menghentikan bekalan minyak ke Israel dan Jordan.
Letupan yang dipercayai angkara sabotaj itu berlaku berhampiran perkampungan al-Sabil di wilayah al-Arish menggunakan bom kawalan jauh, menurut pegawai keselamatan.
Agensi berita Mesir, MENAmelaporkan, api marak setinggi 20 meter dari paip yang pecah.
Menurut MENA, pasukan bersenjata bergegas ke tempat kejadian tetapi masih gagal mengawal kebakaran itu.
MENA yang memetik penduduk tempatan sebagai berkata, mereka mendengar satu letupan 'kuat' diikuti satu bola api besar menjulang ke udara.
Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.
Jurucakap Kementerian Infrastruktur Israel ketika ditanya oleh AFP enggan mengesahkan sama ada bekalan gas ke Israel telah dihentikan selepas letupan itu.
Saluran paip itu sebelum ini pernah disabotaj pada 5 Februari lalu ketika peningkatan tunjuk perasaan memaksa bekas Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.
Ekoran kejadian itu, bekalan gas ke Israel dan Jordan terhenti sehinggalah disambung semula pada 16 Mac lalu.
Ketika itu, Menteri Infrastruktur Israel, Uzi Landau menyifatkan gas adalah komponen ekonomi paling penting dalam perjanjian damai antara kedua-dua negara itu yang ditandatangani pada 1979.
Mesir membekalkan kira-kira 40 peratus keperluan gas asli Israel yang digunakan untuk pengeluaran tenaga elektrik. - AFP, utusan

No comments: