Pages

Saturday, April 23, 2011

AS kirim Predator



BENGHAZI: Amerika Syarikat akan menghantar pesawat tanpa juruterbang Predator ke ruang udara Libya selepas Perancis, Britain dan Itali mengirim penasihat tentera bagi membantu pemberontak di negara itu.
Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates, berkata Presiden Barack Obama mengizinkan penghantaran pesawat pembawa misil itu atas alasan kemanusiaan.


Naib Pengerusi Panglima Tentera AS, James Cartwright, pula berkata negara itu dan sekutunya mahu menghentikan tentera Muammar Gaddafi mengambil alih bandar dikuasai pemberontak.


Katanya, pesawat tanpa juruterbang itu membantu pemerintah tentera Bersekutu melakukan serangan tepat ke sasaran.


“Ketika ini keadaan berserabut dan sangat sukar mengenal pasti rakan atau musuh.


“Dengan adanya pesawat ini, ia mampu terbang rendah dan membantu kami mengenal pasti sasaran,” katanya.




Penghantaran fasa pertama pesawat tanpa juruterbang itu sepatutnya dibuat semalam tetapi dibatalkan Pentagon kerana cuaca tidak mengizinkan.


Semalam, tentera pemberontak berjaya mengambil alih satu pos kawalan di sempadan Tunisia - Mesir dalam kejayaan pertama mereka untuk tempoh beberapa minggu.
Sementara itu, Majlis Peralihan Kebangsaan yang dibentuk pemberontak di Benghazi menolak kehadiran tentera asing di kalangan mereka.


Jurucakapnya berkata, mereka hanya mahukan bantuan tentera asing menyediakan laluan selamat bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam.


Pemberontak pula berkata, mereka tidak dapat menerima kehadiran tentera asing untuk berperang bersama mereka.


“Kami belajar daripada sejarah bahawa orang tertindas mesti mendapatkan sendiri hak masing-masing, bukan dengan bantuan asing,” katanya. - AFP, mymetro

No comments: