Pages

Monday, March 14, 2011

Pemberontak undur lagi


BREGA: Berpuluh-puluh pemberontak Libya berundur dari Brega, bandar di timur negara itu, semalam ekoran serangan bertubu-tubi pihak tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi.
Menurut sumber pemberontak, tentera kerajaan mara dari barat selepas menawan bandar Uqayla dan desa Bisher, 20 kilometer dari Brega. Sumber itu juga berkata, beberapa kumpulan masih bertahan di kawasan berhampiran Bisher. Kumpulan pemberontak yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda dilihat menaiki trak yang dimuatkan dengan senjata antipesawat di sepanjang jalan menuju Ajdabiya iaitu 80 kilometer dari bandar utama pemberontak di Benghazi dan Tobruk.

Tiada serangan udara dilaporkan berlaku tetapi serangan artileri masih berterusan. Kemaraan kumpulan pemberontak minggu lalu ke wilayah barat dari kawasan dikuasai mereka di timur menjangkau ke Ras Lanuf, kira-kira 40 kilometer di barat Brega. Namun, pemberontak tumpas selepas pertempuran sengit dengan tentera Gaddafi. Selain ada anggota yang belot kepada tentera Gaddafi, kekalahan kumpulan pemberontak juga berpunca daripada kurang pengalaman ketenteraan, tiada kelengkapan senjata dan tidak mampu menangani serangan udara. Di Benghazi rangkaian telekomunikasi terputus sejak semalam tanpa sebab. Tidak diketahui sama ada kawasan lain yang di kuasai pemberontak turut terbabit.
Sementara itu, pergolakan yang berlaku di Yaman menyaksikan dua lagi orang mati selepas polis menembak penunjuk perasaan.

Ia meningkatkan jumlah kematian kepada tujuh sejak tunjuk perasaan membantah pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh bermula Februari lalu. - AFP
myMetro

No comments: