Pages

Friday, March 18, 2011

Bahrain tahan enam pemimpin pembangkang



Pihak berkuasa Bahrain menggunakan jentolak bagi membersihkan khemah-khemah yang dibina oleh penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Mutiara di Manama, semalam. - REUTERS


MANAMA 17 Mac - Bahrain hari ini menahan sekurang-kurangnya enam pemimpin kuat pembangkang, sehari selepas mengambil tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan Syiah mencetuskan kritikan Amerika Syarikat (AS) dan meningkatkan kebimbangan tercetusnya konflik serantau.
Jalan-jalan di negara ini, bagaimanapun kembali tenang selepas pasukan tentera Bahrain menggunakan kereta kebal dan helikopter untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan membersihkan khemah-khemah yang menjadi simbol kepada tuntutan mereka untuk mendapatkan lebih banyak hak dan kuasa di bawah pemerintahan Sunni oleh penunjuk perasaan yang didominasi oleh Syiah.
Seramai tiga anggota polis dan tiga penunjuk perasaan dilaporkan terkorban dalam pertempuran antara tunjuk perasaan dan pasukan keselamatan, semalam.
Antara mereka yang ditahan sepanjang malam tadi termasuklah, Haq Abdel Wahhab Hussein yang mengetuai pergerakan menuntut penggulingan kerabat diraja, menurut parti pembangkang terbesar Weqaf.
Ibrahim Sharif, ketua parti sekular berhaluan kiri Waad dilaporkan turut ditahan.
"Dua anggota tentera yang bertindak seperti samseng memanjat pagar rumah kami dan seorang daripadanya mengacu senjata ke muka Ibrahim.
"Seorang lagi pergi ke garaj untuk membawa anggota lain masuk dan mereka menyelongkar kediaman kami," kata isteri Ibrahim, Farida Ismail kepada Reuters melalui panggilan telefon.
Penahanan itu dibuat selepas kemasukan tentera dari negara Sunni lain seperti Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) ke negara ini yang dibimbangi akan meningkatkan campur tangan negara Syiah, Iran.
Penahanan itu turut membangkitkan protes simpati daripada penganut Syiah di seluruh rantau itu, termasuk di timur Arab Saudi.
Sumber perubatan berkata, berpuluh-puluh orang dibawa ke Hospital Antarabangsa Bahrain semalam ekoran cedera terkena peluru getah dan sesak nafas terhidu gas pemedih mata yang digunakan polis antirusuhan. - REUTERS

No comments: