Pages

Sunday, February 20, 2011

Rakyat digesa bertenang


SEORANG penunjuk perasaan yang cedera selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan diusung rakan lain untuk dibawa ke hospital di Manama, semalam.
SEORANG penunjuk perasaan yang cedera selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan diusung rakan lain untuk dibawa ke hospital di Manama, semalam.

MANAMA: Putera Mahkota Bahrain berikrar akan mengadakan dialog kebangsaan selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di ibu negara itu dengan 55 orang dilaporkan cedera.
Putera Mahkota, Sheikh Salman bin Hamad al-Khalifa berjanji mengadakan sesi dialog kebangsaan sebaik keadaan di negara itu kembali tenang. Raja Hamad juga mengumumkan beliau melantik warisnya itu untuk memulakan perbincangan.

Putera Salman yang muncul di kaca televisyen turut menyampaikan takziah kepada rakyat Bahrain terhadap ‘detik-detik sukar yang dilalui sekarang.’

“Saya ingin menyampaikan mesej kepada rakyat Bahrain supaya bertenang.
Golongan muda kita berhimpun di jalanan dan percaya mereka tidak mempunyai masa depan di negara ini. Namun, negara ini milik anda semua, rakyat Sunnah dan Syiah,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua pihak sama ada anggota tentera, polis dan orang awam supaya mengawal diri dan menjunjung nilai etika.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula mengecam tindakan keganasan ke atas penunjuk perasaan di Bahrain yang disuarakannya dalam perbualan melalui telefon dengan pemimpin negara itu yang menjadi sekutu utama AS di Teluk.

Obama berkata: “Kestabilan di Bahrain bergantung kepada rasa hormat terhadap hak rakyatnya dan proses reformasi yang memenuhi aspirasi semua rakyat,” lapor kenyataan dikeluarkan Rumah Putih, semalam.

Pasukan keselamatan Bahrain, semalam melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun untuk menuju ke Dataran Pearl.

Saksi memberitahu, tembakan dilepaskan ke arah orang ramai berhampiran Hospital Salmaniya, kira-kira dua kilometer ke arah selatan bandar raya ini.

“Secara keseluruhannya, 55 orang cedera termasuk empat dalam keadaan kritikal. Mereka dikejarkan ke Hospital Salmaniya,” kata anggota Parlimen parti pembangkang berfahaman Syiah, Abdel Jalil Khalil Ibrahim.

Sementara itu, parti pembangkang utama Syiah menolak sidang dialog yang diusulkan pemerintah.

“Tiada sesiapa yang akan berdialog dengan pemerintah sekiranya pihak tentera masih membunuh orang awam,” kata anggota parti Wefaq yang meletakkan jawatan di Parlimen, Ibrahim Mattar. - AFP/ReutersmyMetroRakyat digesa bertenang

No comments: