Pages

Friday, February 18, 2011

Hosni dilihat bersarapan pagi



HOSNI MUBARAK


SHARM EL SHEIKH - Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak yang dilaporkan sakit dilihat bersarapan pagi di sebuah pantai di sini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu sumber berpengaruh memberitahu stesen televisyen ABC, Hosni kini berada di resort miliknya di sini dengan ditemani oleh dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa.

Kedua-dua isteri dan anak lelaki mereka, bagaimanapun telah meninggalkan Mesir.

Sumber itu berkata, memang benar Hosni, 82, menghadapi masalah kesihatan kerana doktor peribadinya turut menemaninya di sini.

Namun, kata sumber itu, Hosni yang meletak jawatan selepas memerintah Mesir hampir 30 tahun dilihat sihat bersarapan pagi di tepi pantai.

Kebimbangan mengenai kesihatan pemimpin itu timbul pada minggu lalu selepas terdapat laporan bahawa beliau berada dalam keadaan koma setelah meletak jawatan.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih pentadbiran Mesir menyatakan, ia terkejut dengan gejala rasuah yang begitu berleluasa dalam pentadbiran Hosni sebelum ini.

Tidak lama selepas mengambil alih kuasa, pihak tentera telah meminta aset beberapa pegawai tertinggi pentadbiran negara dibekukan sehingga siasatan yang dilakukan terhadap mereka selesai dilakukan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments: