TAEZ, Yemen - Para penunjuk perasaan antipemerintah di sini terkejut apabila sebutir bom tangan yang dilemparkan ke arah mereka meletup semalam menyebabkan dua orang terbunuh manakala beberapa puluh yang lain cedera, kata saksi-saksi.
Kejadian tersebut berlaku ketika beberapa pertempuran ganas tercetus di ibu kota Yemen, Sanaa.
Saksi-saksi berkata, serangan bom tangan itu berlaku ketika kumpulan penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar di sini selepas solat Jumaat untuk menuntut pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh.
Tunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Presiden Yemen itu bermula sejak seminggu lalu.
Seorang pegawai tempatan memberitahu agensi berita AFP bahawa bom tangan itu dilontar ke arah para penunjuk perasaan dari sebuah kereta bergerak laju yang memiliki nombor pendaftaran pemerintah.
Menurutnya, mereka yang menaiki kereta pemerintah itu telah dikenal pasti identitinya.
"Terdapat dua orang tetapi kami tidak akan mengaitkan fahaman politik mereka," tambahnya.
"Angka kematian dalam serangan di sini mencecah dua orang dengan 27 yang lain cedera," kata seorang pegawai perubatan.
Dalam perkembangan berkaitan, di ibu negara Yemen, Sanaa, beberapa saksi berkata, sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan antipemerintah cedera apabila kumpulan yang setia kepada Ali menyerang satu tunjuk perasaan.
Seorang koresponden AFP memberitahu, beberapa wartawan dipukul teruk oleh kumpulan penyokong parti Kongres Rakyat Umum (KGC) pimpinan Ali.
Mereka turut menyerang para penunjuk perasaan dengan menggunakan cota dan kapak.
Beribu-ribu penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar, telah berhimpun selepas solat Jumaat di sebatang jalan raya utama di Sanaa.
"Rakyat mahu menggulingkan pemerintah," kata mereka.
Sementara itu, tiga orang ditembak mati oleh pihak polis dan sekitar 20 cedera semalam apabila pasukan keselamatan bertempur dengan penunjuk perasaan di bandar pelabuhan Aden, selatan Yemen.
Seorang pegawai di Hospital Jumhuriah, Aden, berkata, tiga mayat telah dihantar ke rumah mayat sambil menambah 19 orang cedera, dua daripada mereka parah dan terpaksa menjalani pembedahan.
Polis melepaskan tembakan kearah beribu-ribu penunjuk perasaan yang berarak semalam di kawasan Al-Mansura di Aden untuk mendesak pengunduran Ali yang memerintah Yemen selama 32 tahun.
Di Sanaa, para penunjuk perasaan semakin bertindak ganas di sebalik gesaan Ali yang menggesa dialog diadakan untuk membentuk pemerintahan penyatuan kebangsaan.
Beliau dilantik memerintah untuk penggal ketujuh selepas pilihan raya pada September 2006.
"Rakyat Yemen memiliki hak untuk kebebasan bersuara dan serangan terhadap mereka dan wartawan yang membuat liputan tentang tunjuk perasaan di negara itu adalah tidak boleh diterima," kata pertubuhan hak asasi Amnesty International dalam satu kenyataan dari London.
Pertubuhan tersebut memetik beberapa sumber di Yemen memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 10 penunjuk perasaan di Sanaa telah cedera, termasuk beberapa orang yang mengalami kecederaan di kepala selepas pasukan keselamatan yang memakai pakaian awam melepaskan tembakan dengan menggunakan peluru hidup.
Selain kemiskinan dan pengangguran, pemerintahan Ali turut bergelut dengan pergerakan pemisah di selatan, penentangan di utara dan pengukuhan Al-Qaeda di negara itu.
No comments:
Post a Comment