Pages

Friday, February 11, 2011

Ayuh makmurkan masjid

MASJID adalah institusi amat penting dalam Islam. Sejak awal penyebaran Islam, masjid menjadi tonggak kepada penyiaran dan penyebaran Islam. Hal tersebut digambarkan melalui pembinaan masjid Quba oleh Rasulullah s.a.w ketika berlakunya hijrah ke Madinah. Bertitik tolak daripada itu, masjid mula dibina ke seluruh wilayah Islam sampai ke hari ini.
Namun, sejak akhir-akhir ini isu masjid tidak pernah sunyi daripada menjadi polemik sehingga memecahkan perpaduan umat Islam. Keadaan itu berlaku apabila fungsi masjid sebagai wadah ummah dalam beribadah dan pusat sosial semakin diketepikan. Solat secara berjemaah nampaknya kurang diterjemahkan ke dalam kehidupan bersosial yang lain sehinggakan masjid menjadi hambar dengan aktiviti ke arah mengeratkan ummah. Walaupun kita sering ke masjid untuk bersolat berjemaah, persoalannya setakat mana perasaan kasih sayang sesama ummah. Selain itu, ada juga di kalangan umat Islam yang setakat membanggakan masjid dari sudut kecantikan reka ciptanya, menarik landskapnya dan bermacam-macam lagi pujian. Tidak menjadi kesalahan berbuat demikian. Masjid yang cantik, bersih dan menarik persekitarannya tentu akan mengundang rasa ingin selalu berkunjung untuk melaksanakan ibadah. Kita sebagai umat Islam mesti ingat mengenai satu peringatan daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga manusia (umat Islam) bermegah-megah (dengan binaan) masjid.” (Hadis riwayat Abu Daud). Nampaknya apa yang dikatakan Rasulullah sudah terjadi di kalangan sesetengah umat Islam dewasa ini.

Sepatutnya yang perlu dimegahkan ialah aktiviti pengisiannya. Ini kerana pengisian yang akan menjadikan sesebuah masjid itu dapat dianggap benar-benar ‘cantik dan menarik’. Justeru, pihak yang diberikan tanggungjawab dan amanah mengendalikan sesebuah masjid sewajarnya mengambil ikhtiar semaksimum yang boleh untuk mengaktifkan fungsi masjid khususnya ke arah mengajak golongan muda. Dengan aktiviti ibadah wajib dan sunat kemudian ditambah nilai dengan program kemasyarakatan yang terancang mampu mengembalikan imej masjid sebagai tonggak institusi masyarakat Islam terulung.

Pengurusan masjid mesti mencari jalan secara bersungguh-sungguh untuk menarik orang muda agar sayang dan cintakan masjid. Walaupun tidak dinafikan kebanyakan masjid memang sudah sedia mengadakan pelbagai aktiviti sampingan selain ibadah wajib seperti solat fardu, namun kita rasa masih ada ruang buat masjid mengadakan aneka program yang mampu menjinakkan orang muda berkunjung. Satu lagi yang sangat wajar diadakan di masjid ialah ruang bacaan bahan agama. Sebenarnya pembelian bahan bacaan agama boleh dibeli menerusi dana tabung masjid yang didermakan orang ramai. Persoalannya, setakat mana dan banyak mana pengurusan masjid sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi menyediakan bahan bacaan buat jemaah? Terus terang penulis katakan apa yang dapat dilihat ialah kebanyakan masjid memang memiliki ruang bacaan, tetapi bahan bacaan lama dan tiada penambahan dari semasa ke semasa. Keadaan itu seolah-olah menggambarkan sikap pengurusan masjid yang meminggirkan aktiviti pembacaan. Warna kertas buku sudah kuning menampakkan betapa lamanya buku tersebut. Hendak cari buku baru memang susah. Mungkin juga pengurusan masjid menganggap aspek bahan bacaan ini orang ramai boleh membeli sendiri atau berkunjung ke perpustakaan. Sebenarnya, banyak program menjurus kepada pemantapan ukhuwah ummah dapat dilaksanakan di masjid. Misalnya, mewujudkan pertandingan menulis tulisan khat, mengarang cerita berunsur agama dan moral, malah masjid mungkin boleh mengeluarkan buletin berbentuk bulanan atau dwi bulanan untuk diedarkan kepada penduduk sekitar. Mungkin dengan pendekatan sebegini akan menimbulkan rasa ‘dekat di hati’ penduduk khususnya generasi muda kepada masjid. Jadi, dengan kepelbagaian aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan secara sistematik dan diambil bahagian secara kolektif oleh seluruh penduduk barulah sesebuah masjid itu hidup dengan roh keagamaan yang mantap.

Masjid sebagai rumah Allah yang bertindak sebagai institusi terpenting sejak awal sejarah Islam lagi mesti diperkasa agar generasi muda tidak ketandusan dengan semangat beragama yang luhur dan generasi ini akan terus menjadi pemangkin kepada kemajuan ummah pada masa depan. Oleh itu, masjid mesti dijelmakan sebagai medan terbaik dalam merencanakan martabat ummah dengan mencorakkan aktiviti yang secara berterusan dan rapi. Ingatlah antara ciri sesebuah masjid beroleh rahmat dan petunjuk Allah ialah yang dipenuhi jemaah untuk mengerjakan solat fardu dan sunat di samping berfungsi sebagai pusat pembentukan masyarakat Muslim soleh dan bertakwa. Dengan kata lain, masjid menjadi tempat pengabdian cinta umat terhadap Allah dan Rasul-Nya, menggerakkan hati untuk menimba ilmu pengetahuan dan membina ikatan perpaduan ummah yang utuh.


Jadi, masjid usah dibangga-banggakan dari aspek kecantikan luaran saja, tetapi mesti ‘cantik dan indah’ dari dimensi aktiviti pengisiannya. Cantik dan indah bukan hanya pada nama yang diambil sempena nama sahabat Rasulullah, namun yang lebih utama ialah gah dari sudut pengimarahan yang aktif dan berkesan.

Penulis seorang guru
myMetro | Minda: Ayuh makmurkan masjid

No comments: