SANAA (Yaman): Seramai 2,000 anggota polis berkawal di sekitar jalan raya di ibu negara Yaman, semalam bagi mengekang bantahan terhadap presiden negara itu yang sudah memerintah selama 32 tahun, sekutu utama AS dalam perang menentang al-Qaida.
Anggota polis termasuk yang berpakaian preman melepaskan tembakan ke udara dan menghalang beribu-ribu pelajar Universiti Sanaa daripada menyertai ribuan penunjuk perasaan lain di tempat berasingan di ibu negara Yaman itu dalam demonstrasi hari keenam.
Berdasarkan inspirasi daripada kejadian penyingkiran pemimpin di Mesir dan Tunisia, penunjuk perasaan di Yaman menuntut pembaharuan politik dan pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh dengan memperjuangkan isu kemiskinan, pengangguran dan rasuah.
Saksi berkata, polis mengunci pagar universiti bagi menghalang pelajar berlari keluar ke jalan raya berdekatan.
Mereka berkata, sekurang-kurangnya empat orang tercedera ketika bergelut dengan polis.
Tunjuk perasaan turut berlaku di bandar Aden dan Taaz di mana beribu-ribu penunjuk perasaan melaungkan, ‘Berambus...berambus Ali Abdullah Saleh’ Ali Abdullah yang cuba meredakan ketegangan yang tercetus di negaranya mengatakan beliau tidak akan bertanding untuk satu penggal lagi dalam pilihan raya 2013. - AP
No comments:
Post a Comment