Pages

Sunday, January 16, 2011

Tentera, polis bertempur dengan penyerang di Tunisia





2011/01/16

PENUNJUK perasaan membaling batu ke arah polis ketika rusuhan yang menyaksikan penggulingan    kerajaan pimpinan Zine El Abidine Ben Ali (gambar kecil) di Tunisia, kelmarin.
PENUNJUK perasaan membaling batu ke arah polis ketika rusuhan yang menyaksikan penggulingan kerajaan pimpinan Zine El Abidine Ben Ali (gambar kecil) di Tunisia, kelmarin.
TUNIS: Tentera dan polis bertempur dengan penyerang di depan bangunan kementerian dalam negeri semalam sejurus selepas Tunisia menyaksikan presiden sementara mengangkat sumpah jawatan menggantikan Zine El Abidine Ben Ali yang melarikan diri ke Arab Saudi. 

Wartawan Associated Press (AP) menyaksikan pertempuran itu dan melihat dua mayat bergelimpangan di sebuah dataran di tengah Tunis.
Penembak tepat turut dilihat berada di atas bangunan kementerian berkenaan. Masih belum jelas siapa penyerang berkenaan tetapi sumber kanan tentera berkata mereka adalah penyokong setia Ben Ali.

Pertempuran itu berlaku sejurus selepas speaker Parlimen, Fouad Mebazaa dilantik presiden sementara berikutan penggulingan Ben Ali selepas sebulan tunjuk perasaan besar-besaran. 

Sebaik saja dilantik, Mebazaa mengarahkan penubuhan kerajaan campuran yang disyaratkannya membabitkan parti pembangkang yang disisihkan selama 23 tahun lalu di bawah pemerintahan Ben Ali. 

Bagaimanapun, pemergian Ben Ali yang dituntut penunjuk perasaan masih tidak dapat meredakan keadaan. 
Seramai 42 banduan di dua penjara terbunuh dalam rusuhan yang menyebabkan kebakaran di tempat tahanan itu, manakala perusuh turut menyerbu beberapa kedai dan membakar stesen kereta api utama. 

Tembakan turut kedengaran di ibu negara Tunisia ini. 

Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi selepas digulingkan dalam rusuhan besar-besaran rakyat, mengakhiri pemerintahan kuku besinya selama 23 tahun. 
Satu kenyataan dikeluarkan istana Arab Saudi awal semalam secara rasmi mengumumkan negara itu menerima Ben Ali dan keluarganya sebagai tetamu. 

Atas sikap prihatin kepada keadaan dihadapi saudara kita rakyat Tunisia dan demi menyokong keselamatan dan kestabilan negara mereka, kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan kedatangan Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan keluarganya ke negara ini. 

Kerajaan Arab Saudi berdiri teguh bersama rakyat Tunisia dan berharap mereka akan bersatu bagi menghadapi keadaan sukar dalam sejarah negara mereka, kata kenyataan itu. 

Tunjuk perasaan besar-besaran di Tunisia dilapor dicetuskan bulan lalu apabila seorang pemuda, Mohamed Bouazizi, 26, cuba membunuh diri selepas polis menghalangnya daripada menjual buah dan sayur-sayuran untuk menyara hidup. 

Bouazizi, seorang graduan universiti, membakar dirinya dan meninggal dunia di hospital akibat cedera parah minggu lalu. 

Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan itu, tiga kali ganda lebih ramai berbanding perangkaan rasmi. 

Ben Ali mengambil alih kuasa dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1987 dan mendapat pujian pada awal pemerintahannya kerana memperkenalkan pembaharuan ekonomi liberal dan mengurangkan pengaruh parti berasaskan Islam Ennahdha. 

Kerajaan mengisytiharkan perintah darurat selepas keganasan dan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara, selain memberi amaran mereka yang ingkar akan ditembak. AFP

No comments: