Rupa-rupanya Aa Gym bernikah senyap-senyap dengan isteri mudanya pada tahun 2005 dan hanya sampai ke telinga isteri pertama setahun kemudian dari mulut orang
MIMIK wajah pendakwah terkemuka Indonesia, K.H. Abdullah Gymnastiar, tampak tidak nyaman, bagaikan fikirannya sarat diusik keresahan, ketika menyampaikan ceramah di Masjid Pondok Indah, Selasa lalu.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Aa Gym (gambar atas), kelihatan payah memberikan tumpuan tatkala membacakan beberapa potong ayat suci. Beberapa kali, beliau minta diingatkan jemaah sambil bertanya: 'Sampai di mana tadi, ya?'Beberapa wartawan Indonesia yang hadir termasuk wartawan laman Kapanlagi, hairan mengapa pemimpin Pesantren Daarut Tauhid itu bertindak demikian.Namun, terbetik di hati mereka, keresahan Aa Gym itu berpunca daripada kebimbangan beliau bakal 'diserang' soalan bertalu-talu pihak media yang ingin mencungkil kisah perceraian beliau dengan isteri pertamanya, Cik Ninih Muthmainah (Teh Ninih).Sebelum itu, jurufoto akhbar yang bertunggu-tangga di masjid tersebut telah dipersilakan Aa Gym keluar dari kawasan pengajian.Aa Gym juga dikatakan kurang senang apabila beberapa wartawan berkunjung dan menanti beberapa jam lamanya di depan rumah isteri keduanya, Cik Alfarini Eridani atau Teh Rini, untuk mendapatkan komennya.Teh Rini kemudian menulis surat rasmi kepada para wartawan, memohon mereka supaya tidak menjaga tepi kain beliau dan Aa Gym.Penantian para wartawan untuk mendengar ulasan daripada mulut Aa Gym sendiri berakhir dengan kekecewaan apabila pendakwah itu langsung keluar dari masjid dengan dikawal 10 jejaka sasa berbaju koko putih.Berita tentang perceraian Aa Gym dengan Teh Ninih sudah bertiup kencang sejak lewat tahun lalu.Aa Gym, jelas beberapa sumber, dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di rumah Teh Rini di Tangerang. Apabila ke Bandung, urusannya hanyalah berceramah di Daarut Tauhid dan bukannya bertemu Teh Ninih yang menetap di sana.Perceraian mereka, bahkan disahkan Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Bandung, Encik K.H. Miftah Farid, baru-baru ini.Majalah Femme juga melaporkan Teh Ninih telah memohon agar rumah anak yatim Darul Muthmainnah, usaha miliknya bersama Aa Gym, menjadi hak perseorangannya sahaja.Dalam permohonannya, Teh Ninih mencatat statusnya sebagai sudah bercerai secara agama dengan Aa Gym sekitar Oktober tahun lalu.TIDAK ADIL MEMBAHAGI WAKTUDAN NAFKAH LAHIR BATINPopulariti Aa Gym yang menjadi bak satu fenomena, ditambah dengan adanya stesen televisyen milik peribadinya, Manajemen Qolbu Televisi (MQ TV), merosot sejak beliau memutuskan untuk berpoligami sekitar September 2006. Perniagaannya juga jatuh muflis.Keadilan bapa lapan anak (tujuh orang dengan Teh Ninih, seorang dengan Teh Rini) itu dipertikai dengan beliau dikatakan gagal memberi layanan saksama dari segi waktu dan nafkah lahir batin kepada Teh Ninih.Salah seorang sahabat Aa Gym yang enggan namanya disiarkan, melahirkan rasa simpatinya terhadap Teh Ninih yang dianggap penyabar dan ikhlas menerima cubaan bermadu.Menurutnya lagi, walaupun orang ramai mengetahui pernikahan Aa Gym dan Teh Rini berlangsung pada 2006, hakikatnya ia terjadi pada 2005.'Saat Aa Gym bernikah dengan Teh Rini, Teh Ninih tidak mengetahui. Aa Gym menyembunyikan pernikahan keduanya selama lebih kurang setahun,' ujar sumber itu kepada majalah Femme.Berita pernikahan kedua suaminya itu hanya sampai ke telinga Teh Ninih daripada buah mulut orang.'Aa Gym dan Teh Ninih datang ke rumah saya untuk berbincang mengenai baik buruknya amalan poligami yang dilakukan Aa Gym, wajar atau tidak jika orang ramai diberitahu mengenainya.'Saya langsung menyarankan agar Aa Gym, sebagai tokoh dakwah yang dikenali, bersifat jujur menanganinya. Akhirnya, beliau yang ditemani Teh Ninih, mendedahkan statusnya kepada orang ramai,' tambah sumber itu lagi.KEKECEWAAN MENTUAWalaupun hatinya merintih, Teh Ninih, sebagai isteri yang baik hati, pernah meminta madunya, Teh Rini tinggal serumah dengannya dan Aa Gym. Saranan itu, bagaimanapun, ditolak Aa Gym dan Teh Rini.Sementara itu, remuk hati seorang isteri turut dirasakan keluarganya. Ibu Teh Ninih, Ceu Nonok, yang mulanya keberatan dan canggung bertemu wartawan Femme di Pondok Pesantren Kalangsari, hampa bahawa menantu harapan yang dilihat cerdas dan terang hati, merobek tangkai hati seisi keluarganya.'Aa itu bukan keturunan kyai tetapi dia soleh. Walaupun ilmu agamanya kurang, tetapi dia ghairah belajar agama dan sering mengikuti alim ulama ke pengajian mereka'Setelah menuntut di salah satu pondok pesantren di daerah Manonjaya, Tasikmalaya, dia memutuskan hasrat menjadi pendakwah, dengan sokongan Teh Ninih dan suami saya, H.M. Mukhsin,' imbas Ceu Nonok.Ceu Nonok hampa dan malu apabila Aa Gym berpoligami tanpa meminta izin beliau, suami dan Teh Ninih. Selama seminggu, beliau terperap di rumah kerana bimbang dipersoal jiran dan teman-teman. Solatnya sering diiringi tangisan.'Sejak beristeri dua, Aa jalan menunduk sahaja dan enggak bergurau dengan orang lain, mungkin takut dimarahi isteri keduanya itu,' ujar Ceu Nonok, terus-terang.Beliau yang menghidap masalah kolestrol tinggi berkata beliau tidak menentang poligami, tetapi Aa Gym harus adil.'Aa, sayangnya, tidak adil dan lebih mementingkan isteri keduanya. Saya pernah cuba menasihatinya, namun niat baik saya disalahanggapkan.'Dia baik tetapi semua orang ada kekurangannya. Aa pernah beritahu saya dengan nada tinggi untuk tidak ikut campur urusan rumah tangga orang lain. Sakit hati bukan dibentak begitu? Namun, bagaimana? Saya sebagai orang tua lebih baik berdiam sahaja,' ceritanya, api kemarahan meluap-luap ketika berbicara.Teh Rini, seperti Aa Gym, juga inginkan ruang peribadinya agar tidak digugat orang sekeliling.Antara kandungan suratnya kepada wartawan yang menanti di luar rumahnya berbunyi begini:'Apakah manfaatnya ingin tahu masalah orang lain? Cuba diperiksa niatnya. Enggak ada maslahatnya selain menaikkan jualan akhbar anda dan memberi bahan untuk orang-orang mengumpat...'Sedang isu perceraian Aa Gym dan Teh Ninih hangat dibincangkan, jemaah yang mengikuti pengajian agama di bawah bimbingannya di pesantren Daarut Tauhid, nampaknya tidak terjejas dengan berita itu.Mantan pengurus kumpulan nasyid Raihan, Encik Farihin Abdul Fatah, yang pernah menjadi pegawai perhubungan awam Daarut Tauhid, berkata:'Saya dan keluarga masih sering ke sana untuk bersilaturahmi dengan jemaah-jemaahnya. Ketika isu Aa Gym berpoligami hangat dibicarakan, jemaah tetap tidak terpengaruh, bahkan ke sini kerana beribadah untuk Allah. Suasana di sini masih tetap mengalu-alukan kami datang.'Apa jua halnya, suara hati Aa Gym dan Teh Ninih ingin didengar masyarakat. Jika suatu masa dahulu, mereka pernah dilihat sebagai pasangan ideal, mengapa masa mengubah segalanya?
-cyberita
No comments:
Post a Comment