TUNIS - Leila Trabelsi yang merupakan isteri bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali bertindak melarikan diri ke luar negara bersama jongkong-jongkong emas seberat 1.5 tan bernilai lebih £35 juta (RM171.3 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Leila, 53, telah mengarahkan Bank Negara Tunisia supaya menyerahkan jongkong-jongkong emas itu pada minggu lalu.
Apabila ketua bank pusat enggan memenuhi permintaannya, Leila merayu kepada suaminya yang kemudian akur dengan permintaannya mengeluarkan perintah penyerahan emas tersebut, lapor akhbar Perancis, Le Monde.
Setelah jongkong-jongkong emas itu bertukar milik, Leila berlepas ke Dubai seterusnya ke Jeddah untuk menyertai suaminya yang mencari suaka politik di Arab Saudi pada Jumaat lalu.
"Isteri Zine El Abidine adalah orang yang membawa lari emas berharga lebih £35 juta," kata sumber perisikan Perancis.
Zine El Abidine meletakkan jawatan sebagai presiden pada Jumaat lalu selepas ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sini bagi menuntut peletakan jawatannya.
Isteri Zine itu digelar sebagai Imelda Marcos dunia Arab.
Imelda merupakan isteri bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang digulingkan oleh rakyat pada 1986 selepas memerintah secara diktator sejak Disember 1965.
Imelda terkenal dengan gaya hidup mewahnya di negara yang miskin itu dan perwatakan Leila itu disamakan dengan isteri Marcos.
Speaker Parlimen Tunisia, Fouad Mebazza kini menjadi presiden sementara negara itu.
Bagaimanapun, tunjuk perasaan masih berlaku di negara itu bagi menuntut pemerintah sedia ada turut meletakkan jawatan.
Para penunjuk perasaan itu enggan mengiktiraf pemerintah sedia ada kerana ia mengandungi lapan menteri dari rejim bekas presiden yang melarikan diri.
Polis menyuraikan tunjuk perasaan itu dengan menggunakan gas pemedih mata.
Sementara itu, empat menteri penentang Zine bertindak meletakkan jawatan sekali gus menjejaskan harapan untuk memulihkan semula keamanan di negara berkenaan.
Keadaan tidak menentu itu berlaku selepas Zine yang memerintah melalui rampasan kuasa sejak 23 tahun lalu terpaksa akur dengan desakan ribuan penunjuk perasaan yang memintanya meletakkan jawatan.
Tentangan tunjuk perasaan itu berlaku disebabkan penindasan, rasuah dan kekurangan pekerjaan dalam kalangan golongan muda di negara itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment