Pages

Sunday, June 27, 2010

Atasi kurang zat

KEBANYAKAN orang berasa belas apabila melihat pesakit terpaksa diberi makanan melalui tiub kerana kita beranggapan penyakit dihidapinya benar-benar teruk. Ini bukan keadaan sebenar, kerana kajian menunjukkan ramai pesakit mengalami masalah kekurangan zat ketika mendapat rawatan di hospital.
BOLEH BERTAHAN... keadaan sebelum dan selepas tiub dimasukkan ke organ pesakit.
BOLEH BERTAHAN... keadaan sebelum dan selepas tiub dimasukkan ke organ pesakit.

sebelum  -  selepas

KECEMASAN... mangsa kebakaran juga memerlukan PEG.KECEMASAN... mangsa kebakaran juga memerlukan PEG. BANTU... tiub dipasang kepada pesakit.


KECEMASAN... mangsa kebakaran juga memerlukan PEG.

Antara puncanya ialah kurang memberi perhatian kepada soal pemakanan pesakit, sedangkan perkara ini boleh menjejaskan tindak balas pesakit terhadap rawatan.

Dalam menangani perkara ini pesakit yang tidak boleh makan secara normal boleh diberi makanan melalui tiub, sama ada melalui hidung (tiub NG) atau tiub Gastronomi Endoskopi Perkutaneus (PEG) yang disambung ke perut.

Tiub NG membuatkan pesakit tidak selesa dan boleh menyebabkan nekrosis iaitu kematian sel pada bahagian tertekan oleh tiub. Masalah ini tidak timbul jika menggunakan tiub PEG kerana ia diletakkan di perut dan hanya sebahagian kecil tiub berada di dalam perut.

“Pemberian makanan secara tiub PEG biasanya disarankan kepada pesakit secara normal sekurang-kurangnya selama 30 hari tetapi mempunyai usus yang boleh berfungsi dengan baik,” kata Pensyarah Nutrisi dan Diet, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Goo Chui Hoong.

Antara pesakit yang sesuai menggunakan kaedah ini ialah:


  • Pesakit angin ahmar dan penyakit saraf lain (Parkinson, sklerosis multipel, penyakit neuron motor)



  • Pesakit yang alami kecederaan kepala



  • Pesakit dementia (nyanyuk)



  • Menghidap kanser pada kepala atau leher yang malignan (boleh merebak)



  • Mangsa kebakaran



  • Pesakit AIDS



  • Mangsa kemalangan jalan raya yang parah



  • Pesakit yang sebelum ini diberi makanan secara enteral (melalui tiub yang dimasukkan ke hidung, esofagus iaitu saluran makanan dan sampai ke perut)



  • Pesakit mempunyai fungsi usus yang normal



  • Pesakit tiada masalah refluks (yang akan membuatkan pesakit muntah)



  • Penyakit dihidapi tidak menjejaskan fungsi perut

    Menurut Goo, pesakit yang mengalami masalah kekurangan zat ketika di hospital berisiko tinggi mendapat komplikasi kesihatan.

    Badan pesakit menjadi lebih lemah, kurus dan tindak balas terhadap rawatan juga kurang memberangsangkan menyebabkan penyakit lebih sukar dirawat.

    Tiub PEG yang mula diperkenalkan pada awal 1980-an adalah alat perubatan ringkas yang digunakan untuk membekalkan khasiat kepada pesakit yang tidak boleh menelan makanan. Penggunaan tiub PEG boleh bersifat sementara atau kekal; tertakluk kepada keadaan setiap pesakit.

    Walaupun secara idealnya pesakit disaran menggunakan tiub PEG jika tidak boleh makan secara normal dalam masa 30 hari, waktu pemasangan tiub ini berbeza mengikut keadaan pesakit.

    Bagi pesakit angin ahmar, biasanya prosedur memasang tiub dilakukan enam bulan selepas terkena serangan dan tiada tanda pulih. Dalam tempoh enam bulan pertama selepas serangan, peluang pesakit angin ahmar untuk sembuh adalah cerah.

    Jika pesakit menjalani rawatan dan latihan fisioterapi, mereka mungkin boleh makan seperti biasa dan tidak memerlukan tiub PEG.

    Manfaat tiub PEG:



  • Prosedur memasukkannya mudah dan cepat (15 hingga 20 minit saja)



  • Prosedur dikategorikan sebagai prosedur pesakit luar tanpa risiko bius



  • Komplikasi luka yang minimum



  • Lebih besar tiub PEG digunakan, makin kurang risiko makanan tersekat dalam saluran makanan



  • Perut mempunyai kapasiti penyimpanan lebih besar



  • Risiko tiub PEG tercabut adalah rendah

    Walaupun ia boleh mengatasi masalah kekurangan zat, tiub PEG juga ada beberapa kelemahan seperti:



  • Risiko jangkitan, terutama pada lubang tempat tiub dimasukkan



  • Risiko terpaksa melakukan penyedutan untuk mengeluarkan cecair berlebihan dari badan



  • Pesakit tidak sedar kehadiran tiub pada badan mereka dan mungkin mengakibatkan mereka melakukan pergerakan yang boleh menyebabkan tiub tercabut



  • Kulit di keliling tiub terkakis akibat kesan asid perut yang meleleh keluar

    Keadaan pesakit yang tidak boleh/sesuai menggunakan tiub PEG:



  • Usus kecil tersumbat terus



  • Alami cirit-birit yang teruk



  • Pesakit tidak lagi memerlukan pemakanan secara agresif (contohnya nazak atau bertambah sembuh)



  • Pesakit yang pernah jalani pembedahan abdomen



  • Pesakit kanser kepala dan tekak yang teruk



  • Alami sepsis (jangkitan bakteria yang menyebabkan kehancuran tisu) hinggalah pesakit sembuh



  • Pesakit yang ada masalah kogulasi (pembekuan cecair mengandungi partikel makanan kepada bentuk jeli)



  • Pesakit yang mengambil ubat pencair darah seperti aspirin (kena berhenti ambil aspirin sebelum prosedur)

    Bagaimana tiub PEG dipasang?

    Menurut Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ida Hilmi, pesakit dinasihatkan berpuasa pada hari pemasangan tiub PEG. Pesakit kemudian diberi suntikan untuk membuatkan kerongkong berasa kebas dan ubat penenang supaya pesakit tenteram.

    Hanya selepas itu baru doktor memasukkan endoskop berkamera ke dalam perut (melalui kerongkong) untuk memeriksa keadaan perut. Melalui imej yang dilihat pada monitor, doktor menentukan lokasi sesuai untuk diletakkan tiub PEG.

    “Bahagian ditetapkan akan dibersihkan menggunakan antiseptik dan disuntik bius setempat. Doktor akan membuat bukaan kecil pada kulit di perut supaya tiub PEG boleh dipasang. Ia prosedur mudah dan selamat. Pesakit boleh balik pada hari sama selepas diberi panduan penjagaan dan pemberian makanan.

    “Untuk mengelak ia tercabut, tiub PEG mempunyai ‘kunci’ khas yang turut berfungsi menahan asid perut daripada meleleh keluar.

    “Kebersihan mulut sangat penting ketika prosedur ini untuk mengelak jangkitan dari mulut berpindah ke perut. Jika pesakit menjaga dan patuh pada arahan penggunaan tiub PEG, ia boleh tahan sehingga lima tahun,” katanya.

    Penjagaan tiub PEG:

    Tiub PEG sangat mudah dijaga, pun begitu ramai pesakit terpaksa dirujuk ke hospital kerana mengalami keradangan akibat kesan asid perut atau atau jangkitan teruk pada kulit di sekeliling tiub PEG. Bahkan najis juga boleh berkumpul di keliling tiub ini jika ia tidak dibersihkan setiap hari.

    Penjagaan boleh dilakukan oleh pesakit atau dibantu ahli keluarga. Langkah yang perlu diambil hanyalah:



  • Cuci tangan dengan air dan sabun setiap kali menyentuh tiub



  • Tanggalkan pembalut lama dan basuh tangan lagi



  • Tengok kawasan di mana tiub keluar dari perut



  • Periksa jika ada tanda seperti kulit merah, bengkak, cecair kuning kehijauan atau kulit berlebihan yang tumbuh di sekitar tiub



  • Tidak perlu bimbang jika keluar sedikit cecair jernih atau kecoklatan; ia adalah normal



  • Jika ada cecair jernih (jus perut) di keliling tiub PEG, bersihkan dengan kertas tisu basah



  • Jika cecair (jus perut) mengalir berlebihan, letak sekeping kain kasa atau kapas bersih di keliling tiub untuk menyerap cecair berkenaan. Biarkan seketika dan tukar jika cecair masih keluar



  • Jangan tarik tiub PEG kerana ia boleh terkeluar (tercabut) jika disentap



  • Guna kapas untuk bersihkan cecair dari kulit yang berkeruping, cakera atau tiub, tapi jangan tarik atau kikis. Dapatkan bantuan jururawat dengan segera supaya masalah anda tidak bertambah teruk.

    Hubungi jururawat di Unit Endoskopi jika:



  • Ada tanda merah, bengkak, bocor, sakit atau nanah di sekeliling tiub PEG



  • Darah di sekitar tiub atau dalam najis



  • Perubahan melebihi dua angka di bawah plastik lembut tiub PEG



  • Apabila tiub tersumbat

    Bila tiub PEG perlu diganti?

    Menurut Dr Ida, jika dijaga dengan baik, tiub ini boleh digunakan selama beberapa tahun. Jika ada kebocoran atau kerosakan, tiub perlu diganti lebih awal menggunakan kaedah endoskopi.

    Bila pesakit boleh diberi makan?

    Pesakit hanya boleh diberi makanan empat jam selepas tiub PEG dipasang. Makanan mesti dalam bentuk cecair kerana tiub agak kecil. Semua makanan pepejal mesti dikisar hingga halus sebelum dituang masuk ke dalam tiub PEG.

    Makanan mesti sejuk (suhu bilik) dan jangan sekali-kali menuangkan makanan suam atau panas ke dalam tiub PEG kerana boleh menjejaskan kualiti tiub. Pada peringkat permulaan, beri dalam kuantiti kecil iaitu antara 50 hingga 100 mililiter.

    Kuantiti makanan berbeza mengikut keperluan pesakit dan biasanya mereka boleh diberi antara 200 hingga 300 mililiter makanan pada satu-satu masa dan jadual makan pula sama seperti orang sihat iaitu setiap empat hingga enam jam.

    Makanan tidak boleh terlalu pekat kerana ia boleh tersekat di dalam tiub. Untuk membersihkan tiub, penjaga dinasihatkan menuang air masak ke dalam tiub sebelum dan selepas memberi makanan.

    Ketika ‘makan’, pesakit perlu duduk bersandar atau jika baring, kedudukan kepala hendaklah lebih tinggi daripada perut selama 30 hingga 60 minit selepas makan bagi mengelak risiko asid refluks yang boleh menyebabkan sakit perut, mual, muntah atau cirit-birit.

    “Penjaga akan diajar mengenai cara betul memberi makanan kepada pesakit. Tidak kira sama ada makanan itu dibeli (dari farmasi) atau disediakan sendiri di rumah, ia perlu diberi mengikut nasihat pakar pemakanan dan doktor. Pada masa sama, tiub PEG perlu dipastikan sentiasa bersih untuk elak sebarang masalah,” katanya.
  • No comments: