Pages

Sunday, December 19, 2010

WikiLeaks: Steven Spielberg diboikot 14 negara Arab



LONDON 18 Dis. - Satu kabel WikiLeaks mendedahkan penerbit filem terkenal berketurunan Yahudi, Steven Spielberg dan yayasan miliknya, Righteous Persons Foundation diboikot oleh Liga Arab pada 2007.
Spielberg disenarai hitamkan oleh Pejabat Boikot Liga Arab selepas dia menderma sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta) kepada Israel semasa konflik bersenjata di Lebanon pada 2006.
Satu memo Kedutaan Amerika Syarikat yang didedahkan oleh WikiLeaks menunjukkan semasa persidangan Liga Arab pada April 2007, diplomat atau wakil dari 14 negara mengundi untuk menggantung semua filem dan produk-produk lain berkaitan dengan Spielberg atau yayasan miliknya.
Menurut memo itu, ketua jabatan pemboikotan serantau terhadap Israel dari Syria, Muhammad al-Ajami berkatam Algeria, Iraq, Lebanon, Kuwait, Libya, Maghribi, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Sudan, Syria, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Yemen bersetuju untuk menggantung semua hasil kerja Spielberg.
Malaysia, Iran, Pakistan dan Indonesia yang turut hadir pada sidang itu menyokong keputusan itu. Memo dari Kedutaan Amerika di Damsyek ke Washington menyatakan bahawa 'negara tersebut dan negara lain akan melaksanakan penggantungan mereka sendiri, sama seperti yang diambil oleh negara Arab'.
Pada mesyuarat itu, syarikat Estée Lauder juga disenarai hitamkan manakala firma kewangan, Merrill Lynch diletakkan dalam 'senarai pengawasan'.
Negara Arab tunggal yang tidak menghadiri mesyuarat itu ialah negara yang memeterai perjanjian damai dengan Israel iaitu Mesir, Mauritania dan Jordan. Tidak hadir ialah Djibouti dan Somalia.
Jurucakap bagi Spielberg, Marvin Levy berkata, tatkala pihaknya tidak boleh memberi ulasan mengenai kabel yang dibocorkan rahsia itu, ia tahu bahawa filem-filem dan DVD telah dijual ke seluruh dunia menerusi saluran pengedaran biasa selama ini.
Jurucakap Majlis Pemahaman Arab-British, Chris Doyle berkata, boikot itu adalah reaksi yang boleh difahami sebagai tindak balas kepada derma Spielberg itu.
''Ia adalah konsisten dengan keputusan lain sebelum ini terhadap syarikat atau individu yang telah melakukan perkara sama.
''Sumbangan derma itu dilihat sebagai hipokrit di pihak Spielberg memandangkan pendirian etika yang diambil oleh Spielberg dalam isu lain termasuk Darfur, malah ia boleh mengakibatkan lebih banyak kemarahan.
''Malah pemaparan watak orang Arab dalam filem Raiders of the Lost Ark adalah sangat buruk, macam kartun dan penuh dengan stereotaip,'' katanya.
Spielberg menubuhkan yayasan Righteous Persons pada 1994. Menggunakan hasil keuntungan dari filem Schindler's List dan Munich, yayasan itu memberi tumpuan bagi mewujudkan masyarakat Yahudi yang teguh di Amerika Syarikat. - AGENSI

No comments: