Pages

Wednesday, December 1, 2010

WikiLeaks akan bongkar lagi


SEORANG wanita membaca berita muka depan akhbar-akhbar utama di AS terbitan hari Isnin di luar bangunan Newseum di Washington, semalam. Akhbar-akhbar utama di AS dan Eropah mendedahkan dokumen diplomatik sulit AS yang diambil daripada laman web WikiLeaks, semalam.- REUTERS


KUALA LUMPUR 30 Nov. - Pengasas Wikileaks, Julian Assange merancang untuk mendedahkan pula dokumen sulit mengenai kepincangan dalam industri perbankan melibatkan bank-bank utama di Amerika Syarikat (AS).
Assange, 39, merancang mendedah berpuluh-puluh ribu dokumen dalaman berhubung kepincangan dalam bank-bank utama AS awal tahun depan, laporForbes Magazine.
Nama Assange terus menjadi sebutan apabila beliau mencetuskan kegemparan baru-baru ini bertindak mendedahkan rahsia sulit AS mengenai perang di Iraq dan Afghanistan melalui laman web itu, sehingga menimbulkan kemarahan negara kuasa besar itu.
Beliau terus menarik perhatian dunia apabila membuat pendedahan terbaru berhubung berpuluh-puluh ribu dokumen sulit diplomatik AS sehingga menggugat pentadbiran Presiden Barack Obama.
Soalnya siapakah Assange?
Assange merupakan seorang warga Australia dan kini menetap di Sweden dan berhadapan tuduhan rogol dan mencabul.
Pada 20 Ogos, 2010, satu siasatan dibuka terhadap Assange di Sweden berhubung dakwaan beliau merogol seorang wanita di Enköping pada 14 Ogos. Dua hari kemudian beliau didakwa melakukan keganasan seksual terhadap seorang lagi wanita yang tinggal bersamanya di Stockholm.
Pada 18 November, Mahkamah Daerah Stockholm meluluskan permintaan untuk menahan Assange berhubung dakwaan merogol dan mencabul.
Assange mula mewujudkan laman web kontroversi itu pada 2006.
Beliau berpegang pada prinsip 'setiap individu boleh mengakses semua perkara' dan atas kepakarannya sebagai penggodam komputer, beliau mula menggodam laman-laman web kerajaan dan syarikat-syarikat dari seluruh dunia sebelum WikiLeaks diwujudkan lagi.
Pada pertengahan 1990-an, Assange didenda di Australia selepas mengaku bersalah di atas 24 tuduhan menceroboh laman-laman web.
Pada Julai lalu, beliau mendedahkan rahsia perang di Afghanistan menerusi laporan Afghan War Diary yang menyaksikan pembongkaran 92,000 dokumen sulit, diikuti 400,000 dokumen maklumat sulit AS berhubung perang Iraq pada bulan lalu.
Ahad lalu, beliau mendedahkan lebih 250,000 dokumen mengandungi maklumat diplomatik AS serta kenyataan-kenyataan memalukan pemimpin-pemimpin dunia.
Pada 20 November, satu waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan melalui Interpol oleh Polis Sweden bagi menangkapnya. Satu waran tangkap turut dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah (EU) melalui Schengen Information System.
Pada 29 November, Peguam Negara Australia, Robert McClelland memberitahu sidang media bahawa Australia akan melancarkan siasatan ke atas WikiLeaks dan kegiatan Assange berikutan pendedahan dokumen sulit AS itu.
Pada hari yang sama, Timbalan Menteri Luar Ecuador, Kintto Lucas menawarkan Assange untuk tinggal di negara itu tanpa sebarang syarat. - Agensi

No comments: