MANAMA: Seorang kolumnis Arab Saudi mencetuskan perdebatan hangat apabila menggesa supaya solat Isyak ditunda kepada sekurang-kurangnya sejam dalam usaha merangsangkan ekonomi, keadaan sosial, kesihatan dan keselamatan.
“Saya hairan kenapa pihak berkuasa tidak menunda solat Isyak kepada sejam supaya kedai dan pusat beli- belah boleh ditutup lebih awal dan hanya restoran, farmasi dan stesen minyak terus dibuka,” kata Salah Al Shihi dalam kulumnya yang disiarkan akhbar Al Watan.
Semua kedai di Arab Saudi tutup ketika solat Isyak dan dibuka semula hingga tengah malam. “Tidak ada alasan keagamaan yang menghalang waktu solat ditunda. Sebaliknya, ia akan mendatangkan lebih banyak kebaikan,” kata Salah.
Menurutnya, pihak berkuasa Arab Saudi menunda beberapa minit solat Isyak sepanjang Ramadan untuk membolehkan umat Islam yang berpuasa mempunyai waktu secukupnyanya untuk berehat selepas berbuka.
Beberapa ulama berkata solat Isyak boleh dilakukan bila-bila masa sebelum tengah malam.
Menurut Salah, jika solat Isyak ditunda sepanjang masa, keadaan sosial ratusan pekerja di pusat beli-belah akan meningkat.
“Saya menerima sepucuk surat daripada seorang lelaki Saudi, pekerja sebuah pusat beli-belah yang mengadu dia terpaksa bekerja hingga lewat malam ketika keluarga dan orang lain berseronok membeli belah waktu itu.
“Kata lelaki itu, usianya sudah menjangkau 60 tahun tetapi keluarganya tidak begitu mengenalinya kerana sentiasa bekerja,” kata Salah.
“Saya bersimpati dengan lelaki itu dan mereka yang senasib dengannya.
“Kita perlu menukar tabiat sosial kita, menunda menunaikan solat dan menutup kedai pada penghujung waktu solat Isyak.
“Semua kedai di negara lain tutup jam 9 malam tetapi di Saudi, orang ramai berbelanja hingga tengah malam.
“Saya hairan apa yang menyebabkan masyarakat kita berbeza dengan penduduk negara lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment