Pages

Saturday, November 6, 2010

Terengganu beli rumah Haji Su


SEBAHAGIAN rumah warisan Haji Su di Kampung Losong yang akan dibeli oleh kerajaan negeri Terengganu untuk dipulihara.


KUALA TERENGGANU 5 Nov. - Rumah warisan 'Haji Su' di Kampung Losong dekat sini yang bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional negeri akan dibeli dan dipulihara oleh kerajaan negeri.
Pengarah Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah memberitahu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi tujuan itu dan kini dalam proses perbincangan akhir dengan pewaris.
Katanya, ia sebahagian daripada usaha bagi mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agak tidak lenyap begitu sahaja bersama sejarah.
''Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang ini yang hampir roboh. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan.
''Tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu tentang seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya.
''Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rumah kepunyaan Allahyarham Su Mohammed Salleh Mohammed yang dibina pada 1850 bercirikan reka bentuk rumah Limas Belanda dan rumah Bujang Berpeleh Kembar Tiga berkait rapat dengan identiti negeri ini.
Mengikut sejarah awal, rumah berkayu cengal itu didiami semua anak Su Mohammed Salleh dan apabila anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu sahaja.
Dua buah rumah yang ditinggalkan itu merupakan rumah pasang siap dan dipercayai mampu dibina oleh hanya seorang tukang dengan mengambil kira kesesuaian alam persekitaran dan kehidupan beragama dan resam Melayu.
''Walaupun ramai yang mungkin melihat struktur rumah tersebut dari luar seolah-olah tidak berharga namun, nilai sejarah dan nilai di dalam rumah itu mendorong Muzium Negeri berusaha untuk memuliharanya bagi tatapan generasi akan datang.
''Ia rumah paling besar di penempatan itu yang masih terdapat rumah-rumah tradisional yang melambangkan taraf kehidupan keluarga yang mendudukinya pada masa silam," ujar beliau.
Katanya, selain nilai warisan yang ditinggalkan, pemilik asal rumah itu mempunyai sejarah tersendiri dan namanya diabadikan sebagai nama penempatan di situ iaitu Losong Haji Su.
''Haji Su merupakan ahli perniagaan dan pada zamannya adalah kalangan yang ternama di negeri ini.
''Allahyarham dikatakan mempunyai banyak kapal untuk urusan dagang di rantau ini malah mempunyai kapal penumpang yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Singapura,'' tambahnya.

No comments: