Pages

Thursday, November 18, 2010

Tafsir Ayat: Perbanyak zikir pada hari Arafah, hari korban dan hari tasyrik



Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2010/11/18

ALLAH berfirman bermaksud: "Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya." (Surah al-Baqarah, ayat 203). 

Hari yang berkaitan dengan haji sudah pun ditentukan iaitu hari wukuf di padang Arafah, hari Aidiladha dan juga hari tasyrik dari hari ke-11 hingga 13 Zulhijjah. Selama tempoh ditentukan itu, hendaklah dipenuhi dengan menyebut nama Allah dan berzikir.Semuanya sudah ditentukan oleh Allah, diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Hari berzikir dan menyebut nama Allah (dengan bertakbir dan bertahmid) mengikut pendapat yang rajih ialah hari Arafah, hari korban dan hari tasyrik selepasnya.
Ujar Ibn Abbas yang dimaksudkan dengan hari tertentu ialah hari tasyrik. Ujar Ikrimah, maksud berzikir pada Allah pada hari tertentu itu ialah bertakbir pada hari tasyrik selepas menunaikan sembahyang fardu iaitu ucapan Allahu Akbar, Allahu Akbar. 

Sewaktu wukuf di padang Arafah sehingga bermalam di Muzdalifah, jemaah haji dianjurkan mengucapkan talbiah. Selama berma-lam di Mina pula, jemaah mengucapkan takbir, tahmid dan tahlil. Begitu juga selama tempoh melontar di ketiga-tiga Jamrah di Mina, setiap jemaah mengucapkan Bismillahi Allahu Akbar. 

Syeikh al-Maraghi berkata, selepas Allah memerintahkan untuk berzikir di Masy’aril Haram, mereka tidak berzikir kepada-Nya di sana dan memerintahkan dengan zikirnya ketika sempurna menunaikan ibadat haji selepas hari Mina. Ini kerana pada tempoh itu, mereka lebih banyak menyebut kelebihan nenek moyang mereka. Lantas Allah menyuruh mereka berzikir pada hari Mina. 

Berkaitan tempoh bertakbir pula, Ali, Abu Yusuf dan Muhammad berpendapat, waktu takbir bermula daripada solat fajar hari Arafah hingga selepas solat Asar pada akhir hari tasyrik. Ibn Mas’ud dan Abu Hanifah pula berpendapat waktu bertakbir adalah dari solat fajar hari Arafah hingga solat Asar hari raya. 
Manakala Ibn Umar, Zaid bin Thabit, Ibn Abbas dan ‘Ata’ berpendapat, ia bermula dari selepas solat Zuhur hari korban hingga selepas Asar pada akhir hari Tasyrik. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya,” mengingatkan kita dengan pemandangan di Padang Mahsyar sesuai dengan pemandangan haji. Ia merangsang perasaan takwa dalam hati mereka di hadapan pemandangan mahsyar yang ngeri itu” 

Ayat ini ditutup supaya manusia beriman seterusnya melakukan amalan salih yang dihiasi sifat ketakwaan kerana yakin kepada hari balasan. Hal ini menunjukkan segala tindakan manusia akan dihitung di hadapan Allah. 

Pada hari itu, tidak boleh memberi manfaat kepadanya oleh harta benda dan anak pinak kecuali amalan yang salih. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang beriman dengan segala rukun iman dan beramal dengan amalan yang salih. 

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin 

No comments: