KLATEN, Pulau Jawa - Gunung Merapi di sini mengeluarkan bunyi gemuruh dan gegaran kecil pada kira-kira pukul 7 pagi semalam, lapor sebuah akhbar Kompas.com semalam.
Gegaran itu dirasai di kawasan Kantor Kecamatan Kemalang yang terletak di lingkungan 15 hingga 17 kilometer dari Gunung Merapi yang meletus pertama kali pada 26 Oktober lalu.
Ketua Bencana dan Vulkanologi, Kementerian Sumber Daya Mineral dan Tenaga Indonesia, Surono mengakui gunung setinggi 2,941 meter itu mengeluarkan bunyi bergemuruh dan letusan tidak berhenti-henti.
Menurutnya, aktiviti di gunung itu tidak pernah berhenti sejak 3 November lalu.
Surono berkata, penduduk diminta mematuhi arahan supaya berada sejauh 20 kilometer dari puncak Gunung Merapi.
Gunung itu didapati turut memuntahkan lahar semalam manakala 166,000 orang telah dipindahkan ke kawasan perlindungan.
Agensi berita Dpa melaporkan awan menjulang setinggi 6,000 meter semalam. Sementara itu agensi berita AFP melaporkan sebuah agensi pengurusan bencana menyatakan, jumlah kematian keseluruhan akibat letusan itu dikurangkan kepada 117 orang berbanding 122 sebelum ini.
Namun, jurucakap agensi itu, Sutopo Purwo Nugroho berkata, jumlah kematian akan meningkat selepas para anggota penyelamat tiba di kampung-kampung yang terjejas akibat debu panas.
Menurutnya, mangsa-mangsa yang mati ditanam dalam kubur besar di Yogyakarta.
Sementara itu, syarikat-syarikat penerbangan membatalkan berpuluh-puluh penerbangan ke Indonesia semalam ekoran debu panas berterbangan di udara.
Sebanyak 50 penerbangan dibatalkan semalam berbanding 36 kelmarin.
Antara syarikat penerbangan yang terjejas ialah Singapore Airlines, AirAsia, Cathay Pacific, Emirates, Malaysia Airlines, Turkish Airlines and Lufthansa.
Namun jurucakap Lapangan Terbang Sukarno-Hatta yang mengendalikan 900 penerbangan sehari tetap dibuka.
Letusan itu turut menjejaskan penerbangan ke bandar Yogyakarta, Solo dan Bandung menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
Stesen-stesen bas dan kereta api dipenuhi dengan orang ramai yang mahu meninggalkan lokasi yang terjejas akibat debu panas itu ke tempat yang lebih selamat. - Agensi
No comments:
Post a Comment