Pages

Monday, November 8, 2010

Awas! Pelancong bertukar menjadi pelacur



- DR AMINUDIN MANSOR 


Kemakmuran dan kemewahan negara ini telah menarik berjuta-juta pelancong untuk datang melancong dan bercuti bers:ama keluarga. Pelancong dari Timur Tengah iaitu Arab Saudi biasanya datang pada cuti musim panas sekitar Jun hingga Ogos setiap tahun dengan membawa anak-anak bercuti di negara ini. 


Sementara pelancong dari negara-negara lain tidak bergantung pada musim cuti persekolahan. Kebanyakan mereka datang ke negara ini mempunyai beberapa tujuan di sebaliknya selain melancong. Antaranya bertujuan mencari peluang perniagaan, peluang pekerjaan, peluang belajar dan ada pelancong yang tiba-tiba di sini bertukar wajah menjadi pelacur. 


Memetik laporan Bernama, dianggarkan 17 juta pelancong dari China dan Hong Kong melakukan perjalanan ke luar negara tahun lalu, Malaysia mendapat sebahagian besar daripada pasaran yang semakin berkembang ini, terutamanya pelancongan mewah. 


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, kempen promosi terkini kementerian itu adalah ke Hong Kong dan Selatan China tahun lalu membuahkan beberapa hasil menarik: terdapat minat semakin berkembang dalam pelancongan mewah di samping pelancongan seni dan budaya selain ekopelancongan dalam kalangan pelancong China yang berada. 


Menurutnya, pelancongan mewah bermaksud pakej pelancongan mestilah RM5,000 ke atas setiap satu dengan penginapan yang menepati cita rasa golongan berada, makanan hebat dan aktiviti eksklusif yang digabungkan bagi pelancongan kelas atasan . 


Selain itu, menurutnya mengenai maklum balas daripada pengusaha pelancongan dan pengembaraan di Hong Kong dan Selatan China, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat lebih banyak kedatangan pelancong dari Hong Kong dan China pada tahun ini. 


Setiap pelancong dari luar negara yang ingin melancong ke negara ini seharusnya memahami budaya, adat resam pelbagai kaum di negara ini. Sensitiviti penduduk di negara ini juga harus dijaga ketika melancong ke negara ini. Sikap ramah-tamah dan baik hati penduduk negara ini jangan disalahgunakan oleh pelancong luar negara. 


Pada masa kini, boleh dikatakan setiap malam pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa memantau dan memeriksa pusat-pusat maksiat seperti rumah urut, spa dan sebagainya dan mendapati ramai para pelacur yang menyalahgunakan permit kemasukan ke negara ini sebagai pelancong dan kemudiannya bertukar menjadi pelacur. Inilah kenyataan yang terpaksa dihadapi. 


Adalah menjadi kebimbangan penduduk di negara ini, kemasukan terlalu ramai pelancong seperti dari Iran yang sering dikaitkan dengan pembawa dadah. Pelancong dari Uzbekistan, China dan Hong Kong sering dikaitkan dengan kegiatan pelacuran di negara ini. 


Masalah dalaman negara yang kini menghadapi pelbagai masalah gejala sosial dalam kalangan rakyatnya seperti kes pembuangan bayi, masalah sosial dalam kalangan remaja sudah cukup rumit dan semakin sukar untuk dibendung. Penduduk merasakan kedatangan terlalu ramai orang asing juga membawa pelbagai masalah yang mengganggu ketenangan dan kedamaian hidup seperti kes jenayah rompakan, pergaduhan, pembunuhan, pecah rumah dan sebagainya. 


Ada juga pelancong yang sudah tamat tempoh melancong datang ke negara ini tidak mahu pulang ke negara asal mereka dan hilang tanpa dapat dikesan. Dalam usaha memikat pelancong dari luar negara datang ke negara ini, kita tidak mahu mereka membawa pelbagai masalah dan gejala sosial dan menambahkan lagi masalah kepada penduduk tetap di negara ini yang sudah pun menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. 


- Penulis ialah penyair, mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi

No comments: