Pages

Friday, November 5, 2010

Barcelona ¦ permata dunia dengan reka bentuknya


Sagrada Familia


SHAMSUL JANGARODIN kagum dengan keindahan seni binanya. 


Ada yang kelihatan seperti batang pokok, condong dan menggerutu permukaannya. Ada pula yang berbonjol macam bunga lavender. Tidak kurang juga yang seperti anggota tubuh haiwan seperti kura-kura dan biawak.
Jangan salah sangka sebenarnya saya bukan menceritakan kunjungan saya ke kebun bunga atau taman haiwan. Apa yang diterangkan merupakan seni ukuran dan seni bina yang jelas kelihatan di serata bandar kedua terbesar Sepanyol, Barcelona.
Bagaikan isi dengan kuku, seni bina dan sentuhan arkitek berciri modenis, Antonio Gaudi, begitu ketara di bandar yang bertempat di pinggir Laut Mediterranean. Meskipun kebanyakan hasilseni binanya dibangunkan seawal kurun ke-19, namun, ia langsung tidak melambangkan karya seni arkitek pada zaman itu.
Sentuhan arkitek, Antonio Gaudi
Dari bangunan La Casa Batllo, sehingga ke Taman Guell dan ikon paling dikunjungi di Barcelona, Sagrada Familia, sentuhan Gaudi amat menakjubkan. Dengan pelbagai warna yang digunakan, setiap hasil karya Gaudi bagai bermandikan warna pelangi. Cukup segar.
Gaudi sering mendapat ilham untuk mereka sesuatu bangunan daripada alam semula jadi. Justeru timbullah batang pokok dan terciptalah kaki kura-kura itu tadi.
Hampir kesemua penjelasan tentang idea dan sentuhan seni reka Gaudi dikumpulkan dan dipamerkan di sebuah muzium di dalam bangunan Sagrada Familia, satu-satunya bangunan ciptaan
Gaudi yang dimulakan pada 1883 namun masih belum selesai.
Di Sagrada Familia inilah kebanyakan rahsia di sebalik kota Barcelona terbongkar. Bangunan yang sebenarnya merupakan sebuah gereja itu tergendala pembinaannya kerana Gaudi yang mati dilanggar trem tidak meninggalkan sebarang pesanan kecuali beberapa lakaran dan sebuah model berbentuk gereja yang sepatutnya dibina.
Beliau disemadikan di dalam bangunan Segrada Familia tersebut.
Perang saudara yang melanda Barcelona pada awal kurun ini dan kebakaran pada 1936 yang memusnahkan kebanyakan catatan dan lakaran seni bina asli hasil sentuhan Gaudi tambah memburukkan keadaan.
Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan masih diteruskan hasil sumbangan orang ramai.
Pengangkutan
Sistem kereta api bawah tanah, MRT versi Barcelona, memudahkan pergerakan sesiapa sahaja dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sediakan peta kota tersebut dan kenali tanda-tanda ‘M’ yang merupakan stesen-stesen kereta api.
Selain gereja Sagrada Familia, satu lagi kawasan yang direka Gaudi merupakan Taman Guell atau ‘Parc Guell’. Bagi mereka yang lebih menggemari saspens, kunjungilah ke taman ini sebelum ke muzium di Sagrada Familia.
Saya boleh pastikan anda akan tertawa dan melihat penjelasan tentang soalan-soalan yang mungkin akan ditanya ketika melihat arca-arca dan bentuk seni bina taman yang turut memberikan pemandangan panoramik kota Barcelona kerana kedudukannya yang terletak tinggi di atas bukit.
Usah pula terkejut melihat rumah-rumah seperti dalam kisah dongeng, Hansel dan Gretel. Jangan pula menyangkakan tiang di taman itu sudah reput kerana mula condong. Itulah sentuhan artistik Gaudi untuk meniru alam semula jadi.
Buat si kaki bola
Selain aura Gaudi yang dirasakan di seluruh kota Barcelona, tidak sah bagi peminat sukan bola sepak untuk terlepas peluang mengunjungi stadium Nou Camp, tempat lahirnya pasukan unggul, Barcelona.
Selain menjenguk muzium dan mengenali bahawa pasukan Barcelona itu merupakan pasukan rakyat – stadiumnya dibina dengan sumbangan masyarakat Barcelona sendiri – mereka yang bertuah boleh menyaksikan barisan bintang bola sepak Barcelona berlatih atau setakat berada di stadium tersebut.
Sekiranya ia berlaku, berbaloilah wang mereka kerana harga tiket untuk memasuki Nou Camp merupakan antara yang termahal bagi sesebuah tempat menarik di Barcelona.
Menyusuli Sukan Olimpik yang diadakan Barcelona pada 1992, kota yang merupakan kota daerah Catalonia itu bagaikan sebutir permata yang baru ditemui warga dunia.
Jumlah kunjungan pelancong meningkat dengan mendadak.
Berbeza dengan kota-kota Sepanyol lain, tanda-tanda di jalan banyak ditulis dalam bahasa Catalonia. Jadi bagi mereka yang sudah menghafal sepatah dua ayat dalam bahasa Sepanyol, usah terperanjat jika tanda-tandanya lebih berbaur seperti bahasa Perancis atau Italy. Tapi nasihat saya, jangan susahkan diri. Ramai warga kota Barcelona boleh bertutur bahasa Inggeris.
Buat si kaki shopping
La Rambla merupakan kawasan membeli-belah utama kota Barcelona, khususnya bagi golongan pelancong. Cara terbaik menikmati La Rambla ialah dengan berjalan kaki. Laluan tersebut yang memanjang akan berakhir di kawasan pantai. Santai-santailah di sana.
Kebanyakan kedai di La Rambla menjual cenderamata dan yang paling unik ialah kesemua kedai-kedai ini dikendalikan orang India.
Apabila ada orang India, adalah makanan India dan apabila ada makanan India, adalah juga terselit makanan halal. Kalau tak jumpa juga, cuba makanan tradisi Sepanyol yang dipanggil paella. Dapatkan yang dimasak dengan makanan laut atau setakat sayur-sayuran. Paella sebenarnya nasi yang dikukus dengan daging, ayam, makanan laut atau sayur dan kelihatan seperti nasi beriani.
Nasi merupakan warisan penjajah Islam terdahulu di Sepanyol yang masih dikekalkan dalam tradisi masyarakat Sepanyol.
Awas penyeluk!
Meskipun begitu, Barcelona amat terkenal sebagai kota penyeluk saku. Jaga barang-barang anda dan pastikan beg sentiasa dikepit rapat dan sebaik mungkin jangan membawa terlalu banyak wang dan barangan berharga.
Sebelum ke sana, saya ada diberitahu tentang pengalaman seorang teman dari Singapura yang menjadi mangsa. Jadi ini bukan cerita dongeng tapi betul-betul!
Barcelona bukanlah kota yang besar. Cukup sekadar dua atau tiga hari untuk anda mengenali dan menerokai kota ini.
Namun saya pasti, dua atau tiga hari itu akan sentiasa menjadi pengalaman segar dalam ingatan sesiapa sahaja yang terpegun dengan keindahan dan keunikan kota Barcelona.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN
1. Pastikan anda mengunjungi ikon Barcelona, bangunan, Sagrada Familia.
2. Terdapat banyak muzium di Barcelona. Ada yang tidak mengenakan bayaran masuk dan ada pula percuma selepas waktu tertentu.
3. Gunakan kereta api bawah tanah. Bagi yang inginkan cabaran, dapatkan peta dan terokai jalan. Barcelona tidak begitu besar.
APA YANG ANDA PERHATIKAN
1. Awas pencopet!
2. Bahasa Catalonia bukan dialek bahasa Sepanyol. Ia bahasa sendiri. Jadi usah pandai-pandai mengatakannya kepada orang Barcelona. Nanti ada yang marah.

No comments: