Pages

Wednesday, November 3, 2010

Banjir besar di selatan Thai





GAMBAR menunjukkan banjir melanda bandar Hat Yai di wilayah Songkhla, selatan Bangkok semalam.



BANGKOK - Thailand semalam bertungkus-lumus untuk menyelamatkan ribuan mangsa yang terperangkap di rumah masing-masing selepas banjir sedalam beberapa meter melanda bandar Hat Yai, di selatan negara itu sekali gus mengakibatkan bekalan elektrik dan komunikasi terputus.
Air membanjiri bandar ini yang didiami 150,000 orang sejak kelmarin ekoran hujan lebat.
Pengarah Serantau Jabatan Pencegahan Bencana, Viroch Phomchai berkata, dia cuba untuk menghubungi hotel-hotel besar di Hat Yai tetapi sistem telekomunikasi terputus.
"Justeru, saya rasa ramai pelancong yang terperangkap," katanya.
Hat Yai cukup popular di kalangan pelancong dari Malaysia dan Singapura.
Pihak berkuasa Thailand menganggarkan hampir enam juta penduduk di seluruh negara terjejas akibat bencana itu sejak tiga minggu lalu apabila rumah ditenggelami air manakala ladang dan ternakan musnah.
Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva menyifatkan banjir itu sebagai salah satu bencana alam yang besar.
"Banyak masalah serius berlaku di kawasan selatan kerana semua bentuk komunikasi dan jalan terputus. Paras air sangat tinggi dan tiada tanda-tanda akan surut," kata Abhisit.


SEORANG wanita melihat rumahnya yang musnah akibat banjir di wilayah Pattani, selatan Thailand semalam.



Abihisit turut memberitahu kerajaan telah membelanjakan hampir separuh bajet kecemasannya sebanyak AS$1.6 bilion (RM4.94 bilion) sejak beberapa hari lalu untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Kelmarin, sebuah hospital terpaksa memindahkan para pesakitnya.
Semua perkhidmatan keretapi ke Hat Yai turut dibatalkan selepas air setinggi dua meter menenggelamkan landasan dan platform keretapi.
Kerajaan Thailand telah menghantar beberapa buah pesawat untuk menghantar bantuan ke bahagian selatan.
Dua buah kapal turut digunakan untuk menghantar bantuan perubatan dan logistik bagi melancarkan operasi menyelamat.
Sementara itu, Gabenor di Surat Thani, Thirayuth Aiumtrakul mengisytiharkan 16 daerah iaitu Muang, Kanchanadit, Don Sak, Pun Pin, Tha Chang, Chaiya, Tha Chana, Ban Nasarn, Viangsra, Prasaeng, Chai Buri, Khirirat Nilhom, Vibhavadee Rangsit, Phanom, Koh Samui dan Koh Phangan sebagai zon bencana.
Sejak 10 Oktober lalu, seramai 104 orang terbunuh ekoran beberapa kejadian banjir di Thailand. - Agensi

No comments: