Pages

Thursday, September 2, 2010

Simbolisme ketika sambut Lailatul Qadar





Lailatul Qadar ibadah yang datang sekali dalam setahun. - Gambar hiasan


LAILATUL Qadar adalah satu malam yang amat agung, kerana ia telah dipilih Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul Quran. Ia permulaan melimpahkan cahaya agama Allah SWT ke seluruh alam di samping limpahan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar daripada hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.
Jika kita renungkan kembali sejak berabad lalu peristiwa Lailatul Qadar yang mulia itu dan kita gambarkan kembali temasya indah yang telah disaksikan oleh bumi pada malam itu, di samping kita memerhatikan pula apa yang sebenar berlaku pada malam itu dan meneliti kesan-kesannya kepada dunia dan kefahaman hati dan akal manusia tentulah kita dapati bahawa malam Lailatul Qadar sebenarnya suatu malam yang sungguh agung.
Disebabkan Lailatul Qadar itu abstrak, bersifat spiritual dan tidak boleh dipastikan melalui kajian, maka timbullah pendapat yang pelbagai mengenainya.
Pelbagai cerita mitos terbit ketika Lailatul Qadar turun iaitu seperti air sungai berhenti mengalir, pohon-pohon serta tumbuhan tunduk tenang, alam maya kelihatan cerah dan sebagainya.
Tidak sedikit daripada cerita-cerita itu bersifat mitologi, yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, tidak masuk akal dan mengada-ngada.
Mungkin semua itu pernah terjadi, terutama di negara yang wilayah geografinya memungkinkan seperti air membeku di belahan bumi bahagian utara atau selatan, tetapi tidak ada kaitannya dengan Lailatul Qadar.
Jadi peristiwanya cuma kebetulan belaka. Seakan-akan di malam yang dipercayai Lailatul Qadar turun, terjadi peristiwa alam seperti itu. Lalu ia dikaitkan.
Justeru Lailatul Qadar ini kita dapatkan asas legalitasinya dalam al-Quran. Maka selayaknya ia memberi tanda-tanda itu agar tidak terjadi penyelewengan dan menimbulkan cerita-cerita karut dan tidak masuk akal. Bagaimana sebenarnya al-Quran berbicara soal tanda-tanda Lailatul Qadar ini?
Dalam surah al-Qadar ayat terakhir Allah SWT menyebut tanda-tandanya: Sa laamun hiya hatta matla‘il fajr - malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Jadi jelas tandanya tidak bersifat lahiriah kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dirasakan.
Justeru, dalam surah ad-Dukhan ayat tiga Lailatul Qadar disebut Laylatun mubaarakah kerana kedamaian hati yang bersumber terus daripada Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air sejuk bagi musafir yang kehausan.
Al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan kerananya, kebenarannya tidak diragukan. Ia hanya dapat dicapai melalui darjat intelektual paling tinggi iaitu intelek kenabian.
Sekurang-kurangnya jika kita dapat sekadar percikannya pada malam Lailatul Qadar bermakna mujahadah kita waktu itu berhasil menyentuh intelek kenabian. Itulah kenikmatan, sekali gus berkat yang paling tinggi.
Inilah malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam, malam yang penuh barakah dan lebih baik dari 1,000 bulan. Pada malam itu turun rahmat dan kebaikan-Nya. Pengalaman mendapatkan Lailatul Qadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkannya. Ia tidak boleh dicapai hanya dengan kehadiran kita pada malam-malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda: Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir, pada malam ganjil. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Tentang bila datangn Lailatul Qadar, banyak riwayat mengaitkan dengan malam-malam ganjil di 10 hari terakhir. Mungkin ini ada hubungannya dengan hadis lain yang menyebutkan bahawa “Allah itu ganjil dan menyenangi yang ganjil-ganjil.”
Bagi pencinta tuhan yang mencintaiNya dengan penuh keikhlasan tidak penting bila Lailatul Qadar itu turun. Yang penting baginya adalah menunjukkan kerinduannya kepada kekasihnya secara sungguh-sungguh.
Intinya adalah mujahadah iaitu kesungguhan menghidupkan bulan Ramadan dan ritual (yang dibenarkan syariat).

No comments: